Usah benarkan hospital swasta jual vaksin COVID-19 ketika ini - Pakar
Umavathi Ramayah
Mac 3, 2021 16:14 MYT
Mac 3, 2021 16:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak seharusnya berkompromi dengan cadangan untuk membenarkan hospital swasta menjual vaksin COVID-19 kepada golongan berkemampuan pada ketika ini.
Menurut Pakar Dasar Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng, tindakan itu adalah tidak adil memandangkan mereka yang mampu akan mengambil kesempatan, sekali gus bakal meletakkan kesihatan awam negara di ambang bahaya.
"Selagi kita tidak memberi vaksin kepada semua golongan yang berisiko tinggi, maka kita tidak harus memberikan peluang kepada hospital swasta untuk menjual (vaksin) di pasaran terbuka.
"Bukan sahaja tidak adil malah ia akan mengorbankan dos yang seharusnya diberikan kepada individu yang benar-benar memerlukan berikutan bekalan vaksin yang terhad di seluruh dunia pada ketika ini," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Namun begitu, Swee Kheng berkata, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk memberi 'kuasa' itu kepada hospital swasta selepas tempoh enam hingga tujuh bulan, namun perlu memenuhi dua kriteria.
"Pertama, bekalan vaksin di Malaysia mesti mencukupi dan kedua semua golongan berisiko mesti divaksinkan.
"Selagi mana-mana kriteria ini tidak dipenuhi selagi itu kerajaan tidak seharusnya membenarkan hospital swasta menjual vaksin COVID-19 di pasaran terbuka," jelasnya lagi.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh menyatakan kesediaan hospital swasta untuk memperoleh vaksin daripada sumber lain sebaik kelulusan diberikan oleh Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Katanya, kerajaan juga dapat menjimatkan kos kerana jumlah penerima vaksin yang kosnya perlu ditanggung oleh kerajaan turut berkurangan apabila hospital swasta turut terlibat.
Beliau juga memaklumkan bahawa cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
#vaksin
#COVID-19
#Khairy Jamaluddin
#Badan Regulatori Farmasi Negara
#golongan berisiko
#barisan hadapan
#Dr Khor Swee Kheng
#Pakar Dasar Kesihatan Awam