Usah bebankan SPRM dengan laporan tidak benar - Cuepacs

Fareez Azman
Oktober 1, 2020 13:35 MYT
Presiden Cuepacs, Adnan Mat menyeru kepada semua pihak agar tidak membebankan SPRM dengan laporan tidak benar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru semua pihak agar tidak membebankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan laporan rasuah tidak benar.
Presidennya, Adnan Mat berkata Cuepacs mengambil maklum kenyataan SPRM mengenai kes rasuah dan ketirisan melibatkan agensi dan jabatan Kerajaan.
Bagaimanapun, tidak semua kes yang dilaporkan kepada suruhanjaya itu jelasnya didakwa dan dituduh di mahkamah, sebaliknya kebanyakan laporan dipercayai bersifat politik dan persepsi semata mata.
“Cuepacs mendapati banyak aduan-aduan yang diterima lebih kepada bersifat ketidakpuasan pihak tertentu kepada pihak lain dan mereka menggunakan pihak berkuasa untuk membuat laporan bagi menyiasat ketidakpuasan hati tersebut.
“Cuepacs berharap dan meminta pihak-pihak di luar sana jangan terlalu banyak bebankan agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan polis dengan membuat aduan palsu dan tidak benar semata-mata kerana bermotifkan ketidakpuasan hati atau bersifat politik,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Ujarnya, jika perkara itu terus berlaku dikhuatiri mewujudkan persepsi tidak baik kepada penjawat awam dan perkhidmatan kerajaan.
Malah Cuepacs ujarnya mendapati kes yang melibatkan penjawat awam dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah sangat rendah berbanding laporan diterima oleh SPRM.
Justeru masyarakat diharapkan tidak terjerat dengan persepsi yang cuba diwujudkan oleh sesetengah pihak yang hanya kerana laporan diterima tinggi.
“Ketika ini setiap jabatan dan agensi kerajaan mempunyai prosedur yang jelas dan lengkap bagi mengatasi masalah ketirisan yang mungkin wujud.
“Penubuhan Jabatan Audit Negara dan bahagian audit di jabatan masing-masing dengan jelas mampu mengatasi masalah ketirisan yang berlaku. Setiap perolehan kerajaan yang dianugerahkan akan diaudit semula oleh Jabatan Audit Negara dan audit dalam masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun Cuepacs merasakan beberapa perkara melibatkan SOP pemberian perolehan perlu diperketatkan lagi untuk mengatasi isu ini.
Ia termasuk kerangka bajet untuk setiap perolehan perlu lebih tepat dan terperinci bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan mengelakkan ketirisan.
BACA: SPRM tidak layan surat layang kecuali dilengkapi dokumen kukuh - Azam Baki
#SPRM #cuepacs #SOP #Media #polis #mahkamah #Rasuah #politik #bajet #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #penjawat awam
;