Usah bantu musuh dan hati-hati sebar maklumat - Polis

Teoh El Sen
Mac 4, 2013 07:30 MYT
Polis memberi peringatan kepada orang ramai untuk lebih berwaspada dengan sebarang maklumat yang disebarkan menerusi internet kerana ia boleh digunakan oleh musuh.
Mengikut seorang jurucakap polis Bukit Aman, orang ramai perlu menggunakan budi bicara apabila berbincang tentang keadaan di Sabah di mana pasukan keselamatan sedang bertempur dengan penceroboh daripada selatan Filipina.
"Pergerakan polis atau tentera harus dirahsiakan. Jangan mengambil gambar atau tweet mengenainya. Kami harap semua orang boleh bekerjasama, " kata jurucakap itu.
Beliau juga berkata orang ramai tidak sepatutnya menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
"Jangan sebarkan khabar angin dan spekulasi. Ia boleh mencetuskan panik.”
“Kita tidak mahu menambahkan beban tugasan pegawai keselamatan untuk menjelaskan setiap khabar angin."
Tambah beliau, semua rakyat perlu berdoa dan memberi sokongan pada saat genting ini.
Selain daripada itu, beliau juga menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan turut menasihatkan orang ramai untuk berwaspada semasa berkomunikasi.
“Dalam era teknologi baru ini, apa yang anda siarkan dalam media sosial berkemungkinan besar akan digunakan oleh musuh atau penyokongnya, " kata Musa, yang kini pensyarah di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Risikan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pada masa yang sama, penganalisis pertahanan, Dzirhan Mahadzir menegaskan kerajaan harus memastikan maklumat yang cepat dan tepat disalurkan kepada rakyat.
Dzirhan berkata tidak salah bagi orang ramai untuk mengetahui kejadian yang sedang berlaku.
"Itu sememangnya lumrah manusia. Sekiranya kerajaan tidak telus, rakyat memang tidak yakin dengan maklumat yang sedia ada,” kata Dzirhan, yang bertugas sebagai penulis majalah pertahanan antarabangsa, Jane’s Defence Weekly yang beribu-pejabat di London.
#Bukit Aman #dzirhan mahadzir #khabar angin #maklumat #Musa Hassan #polis #Sabah #UiTM