Usah angan-angan, Israel tidak akan ubah cara mereka - Tun Mahathir
Astro Awani
Mei 20, 2021 07:51 MYT
Mei 20, 2021 07:51 MYT
KUALA LUMPUR: Ia sesuatu yang klise. Tetapi, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad, penyatuan sahajalah kunci kejayaan Islam menentang kedurjanaan rejim Zionis terhadap Palestin.
Bekas perdana menteri itu berkata, ketika ini, negara-negara Islam ditindas kerana dilihat sebagai pihak yang lemah, oleh itu, mereka perlu bersatu.
"Apa yang harus kita utamakan dalam usaha ini adalah apa yang boleh kita lakukan. Kerana, masih banyak benda yang boleh dilakukan oleh kita untuk menghalang Israel bertindak ganas seperti sekarang.
"Maksud saya ialah, negara-negara Islam perlu bersatu dalam perkara ini sahaja. Tidak mengapa jika hendak berkelahi sesama sendiri, tetapi untuk perkara Palestin ini, kita perlu ada satu pendirian.
"Iaitu, kita tolak perbuatan-perbuatan Israel ini dengan menyatakannya secara terbuka, ini bukan cara manusia bergerak," katanya ketika hadir sebagai ahli panel program Dialog Tiga Penjuru: Di Sebalik Senyuman Hamza di Astro AWANI malam tadi.
Selain Dr Mahathir, dua lagi ahli panel adalah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford Datuk Dr Afifi Al-Akiti.
Dr Mahathir berkata, jika meletakkan harapan kepada kuasa lain untuk bertindak, ia seperti satu angan-angan yang tidak akan menjadi realiti.
Sebaik-sebaiknya, katanya, negara Islam sendiri boleh mengambil tindakan.
"Kita boleh ambil tindakan terhadap Israel. Jangan kita berbaik-baik dengan mereka. Jangan kita ada hubungan dagang dengan mereka. Jangan kita benarkan mereka melalui ruang udara kita.
"Ini semua boleh dilakukan oleh kita.
"Tetapi, kalau hendak harap Israel ambil tindakan, atau negara-negara lain ambil tindakan untuk menjayakan kita, itu adalah satu angan-angan saja.
"Mereka tak akan ubah cara mereka kerana kita dilihat sebagai negara yang lemah dan tidak boleh berbuat apa-apa.
"Saya berpendapat, ada lagi yang boleh dilakukan oleh kita. Tetapi, apabila saya bercakap mengenai apa tindakan yang boleh diambil, tak ada sambutan.
#Mahathir Mohamad
#Abdul Hadi Awang
#Di Sebalik Senyuman Hamza'
#Zionis
#serangan
#Islam
#Israel
#bom
#Gaza
#Palestin
#negara Islam
#penyatuan
#Bersatu
#keganasan
#angan-angan
#Dialog Tiga Penjuru