Uruskan kemalangan jalan raya dengan cara yang betul - Peguam
Bernama
Januari 26, 2021 15:29 MYT
Januari 26, 2021 15:29 MYT
KUALA LUMPUR: Terbabit dalam kemalangan jalan raya boleh menyebabkan seseorang kebingungan seketika, kerana selain terkejut dengan kejadian, dia juga perlu memikirkan langkah seterusnya sambil kepala juga berserabut melihat kerosakan pada kenderaan.
Nasihat pakar perundangan - jangan panik, sebaliknya segera buat laporan polis.
Peguam Prakash Babu Balakrishnan berkata, mereka yang terlibat juga perlu berada di lokasi kejadian sekiranya belum mencapai kata sepakat dan menunggu kedatangan pegawai penyiasat yang akan menentukan tindakan seterusnya.
Bercakap kepada Bernama di sini, beliau menasihati mereka yang terlibat agar tetap membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam sekalipun hanya melibatkan kemalangan kecil dan telah mencapai kesepakatan.
"Kegagalan membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan merupakan satu kesalahan menurut Seksyen 52(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) jika tidak ada alasan yang kukuh," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pegawai penyiasat akan mengenal pasti pesalah dan mengeluarkan saman trafik kepada pihak yang berkenaan.
"Pengelasan dan hukuman juga akan diputuskan oleh pegawai penyiasat dan lazimnya dibuat menurut Akta 333, namun tidak terhad kepada akta itu sahaja," katanya.
Beliau turut menasihati orang awam agar berhati-hati dengan operator trak tunda bebas yang lazimnya menjadi pihak pertama tiba di lokasi kejadian, selain membuat pengesahan dengan syarikat insurans.
"Bagi kes melibatkan kecederaan dan kematian, adalah dinasihatkan pihak yang berkenaan atau waris tidak menandatangani sebarang dokumen yang dikemukakan oleh mana-mana ejen ketika di hospital atau lokasi kejadian tanpa merujuk kepada peguam terlebih dahulu, jika ada peguam," katanya.
Seorang lagi peguam, Patwant Singh Sohanpal berkata jika kemalangan membabitkan dua atau lebih kenderaan tanpa kecederaan, kes dikategorikan sebagai kerosakan harta akibat pelanggaran.
"Dalam konteks Malaysia, tidak kira berapa banyak kenderaan yang terlibat, pihak yang berkenaan harus terlebih dahulu mengalihkan kenderaan ke sebelah kiri jalan demi keselamatan selain mengelakkan kesesakan, sekiranya kenderaan masih boleh dipandu.
"Pemandu seterusnya keluar dari kenderaan dan memeriksa kerosakan serta merekodkan perincian kemalangan merangkumi keadaan kenderaan, nombor pendaftaran serta butiran pihak yang lagi satu," katanya, menambah ini bagi memastikan mereka ada bukti mencukupi untuk tindakan seterusnya.
-- BERNAMA
#kemalangan jalan raya
#perundangan
#hak pengguna
#kenderaan
#peguam
#nasihat perundangan
#Pegawai Penyiasat