Urus tadbir haji oleh Arab Saudi tidak harus dipolitikkan - Jamil Khir

Bernama
Jun 14, 2016 01:48 MYT
JAMIL KHIR: Keselamatan para jemaah haji akan lebih terjamin dengan adanya kerjasama dan komitmen ini. - Astro AWANI/Shahir Omar/Fail
Perkhidmatan dan urus tadbir haji oleh kerajaan Arab Saudi tidak seharusnya dipolitikkan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.
Menegaskan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Malaysia menyokong semua peraturan dan syarat dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi ke atas negara yang menghantar jemaah haji.
"Amat penting bagi semua negara Islam yang menghantar jemaah haji ke Tanah Suci memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi kepada pihak penganjur, kerajaan Arab Saudi.
"Keselamatan para jemaah haji akan lebih terjamin dengan adanya kerjasama dan komitmen ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Katanya umat Islam perlu bersepakat dalam memastikan objektif utama melengkapkan ibadah haji dapat berjalan dengan baik dan lancar.
Segala peraturan dan syarat yang dikenakan adalah munasabah dan wajar bagi menjamin keselamatan para jemaah dan kelancaran urus tadbir pengurusan haji untuk jemaah Malaysia dan seluruh dunia, dari tahun ke tahun, kata beliau.
Jamil Khir berkata kerajaan Malaysia menghargai kerjasama dan bantuan yang diberi oleh kerajaan Arab Saudi itu.
#Arab Saudi #Jamil Khir Baharom #perkhidmatan haji #urus tadbir haji