Urus persepsi politik tangani penyusutan Ringgit - Mustapa Mohamed
Muhafandi Muhamad
Ogos 9, 2015 23:21 MYT
Ogos 9, 2015 23:21 MYT
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan isu berkaitan situasi politik semasa turut mempengaruhi penyusutan nilai Ringgit dan perkara ini perlu diuruskan dengan baik.
Beliau berkata, dakwaan penyusutan nilai Ringgit yang terlalu bergantung kepada sektor minyak dan gas adalah tidak benar.
Katanya, nilai Ringgit susut kepada 3.9 berbanding US$1 dipengaruhi pasaran tukaran wang yang sentiasa berubah setiap hari.
"Asas ekonomi negara masih kukuh dari sudut pelaburan dan nilai dagangan masih tinggi. Ada isu yang sukar dikawal. Wujud juga persepsi sedikit sebanyak kita bergantung kepada sektor minyak dan gas. Tetapi tidaklah besar sangat.
"Hal berkaitan politik turut mempengaruhi persepsi, Kita akui hal persepsi yang perlu kita uruskan dan persepsi politik harus kita jernihkan sekarang ini," katanya ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Wisma Persekutuan Kota Bharu di sini, hari ini.
Menurut Mustapa, beliau berpendapat tindakan segelintir pihak yang membuat unjuran bahawa Ringgit akan terus menjunam, adalah tidak wajar.
Ia, katanya sukar untuk meramalkan secara tepat yang apa yang berlaku kepada pasaran semasa.
Beliau berkata, sekiranya ekonomi negara mampu bertahan dan asasnya terus kukuh ia dilihat salah satu cara bagi menggelakkan nilai Ringgit terus susut.