Urus penularan COVID-19 di kilang dengan cekap, tutup operasi sementara jika perlu
Astro Awani
Disember 17, 2020 18:10 MYT
Disember 17, 2020 18:10 MYT
KUALA LUMPUR : Penularan COVID-19 di kilang-kilang harus diuruskan dengan cekap dan berkesan malah tidak salah sekiranya operasi ditutup sementara untuk proses pembersihan dan pembasmian kuman.
Saranan itu disuarakan Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai yang menegaskan majikan harus terus berwaspada dan komited melaksanakan setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“FMM menyambut baik syarat kerajaan yang mewajibkan semua pekerja asing menjalani saringan untuk memastikan virus tersebut tidak menular, meskipun kilang sudah melaksanakan semua langkah pencegahan.
“Menjalani saringan membolehkan kes-kes dikesan lebih awal dan rawatan yang diperlukan dapat dilakukan dengan segera serta pengesanan kontak dengan lebih luas.
“Walaupun pada masa saringan hanya kepada semua pekerja asing di daerah berisiko tinggi namun semua majikan digalakkan untuk menyaring semua pekerjanya terutama jika mereka berada di kawasan berisiko tinggi,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, kilang-kilang di Malaysia beroperasi di bawah persekitaran yang sangat terkawal dari aspek akses ke premis kilang dan pergerakan keluar masuk pekerja.
“Begitupun, walaupun dengan semua langkah ini, majikan tetap rentan terhadap risiko pekerja mereka dijangkiti di luar tempat kerja dan kemungkinan penyebaran virus kepada pekerja lain.
“Dalam kes di mana terdapat kes positif dilaporkan di tempat kerja, penting untuk memutuskan rangkaian jangkitan dengan cepat dan mengambil semua langkah pencegahan diperlukan untuk mengurangkan kesan kepada kesihatan dan ekonomi,” ujarnya.
#FMM
#kilang
#COVID-19
#pandemik
#penularan
#warga asing
#SOP
#pekerja asing
#kes positif
#kesihatan
#kerajaan
#ekonomi
#majikan
#Pekerja