Urbanisasi: Beri penekanan aspek pelaksanaan di peringkat PBT

Madiha Abdullah
Jun 3, 2024 04:30 MYT
Maimunah berkata, usaha tidak boleh terhenti di situ kerana banyak usaha perlu dilakukan khususnya di peringkat kerajaan tempatan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia sudah memainkan peranan dan melaksanakan polisi bersesuaian berdasarkan gagasan global dalam aspek kelestarian alam.
Penasihat Kepresidenan COP29 (Azebaijan) dan Felo The King's Foundation, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, beliau berpuas hati tentang peranan semasa Malaysia khususnya dalam mempelopori resolusi rumah mampu milik dan penyetempatan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Namun begitu, usaha tidak boleh terhenti di situ kerana banyak usaha perlu dilakukan khususnya dalam menitikberatkan pelaksanaan di peringkat kerajaan tempatan.
"Apa saja cadangan di peringkat global dan nasional, pelaksanaan di peringkat lokal. Di situ saya nampak perlu banyak lagi pembinaan kapasiti.
"Kedua pembiayaan untuk PBT, memang ada PBT yang kaya, sederhana dan ada juga tidak mempunyai punca kewangan. Ini bukan hanya melihat pada bebanan atau laluan geran dari kerajaan tapi bagaimana PBT ini boleh juga mencari dan jana pendapatan sendiri.
"Itu satu masalah bukan saja di Malaysia tapi global, bukan tak ada duit tapi tahu macam mana nak cari duit," katanya dalam program Agenda AWANI, pada Isnin.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat menegaskan, aspek kelestarian tidak semestinya kompleks dan perlu mengambil masa yang lama.
Ini kerana langkah pertama yang perlu diambil ialah melakukan transformasi, selain keyakinan dan kemahuan untuk melakukannya.
"Mesti ada satu perancangan yang teliti, ada pengawasan strategik. Apa yang penting ialah kepimpinan, visi dari pemimpin. Ada transformasi yang boleh dicapai dalam masa yang cepat.
"Saya biasanya akan buat roadmap, ada tindakan segera, tindakan jangka pendek, tindakan median, tindakan jangka panjang dan tindakan mampan. Bukan tiga peringkat saja. Tindakan mampan itu penting sebab kalau dapat yang itu, prosesnya harus jelas," ujarnya.
Agenda AWANI: Urbanisasi | Berfikir global, bertindak lokal
#urbanisasi #mampan #kelestarian #Malaysia
;