URB S'gor cegah 12 kes dalam tempoh kurang sebulan

Bernama
Januari 11, 2013 12:04 MYT
Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Selangor berjaya mencegah 12 kes jenayah di negeri ini dalam tempoh kurang sebulan selepas unit itu dilancarkan, Disember lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata antara kejadian yang berjaya dicegah membabitkan kes curi kenderaan, samun, pecah rumah, ragut dan kes kelucahan melampau.
"Kejayaan pertama dicatat sehari selepas pasukan URB kita memulakan tugasan mereka iaitu pada 21 Dis lepas, membabitkan kes curi kenderaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 22 anggota URB yang menjalankan tugas dengan cemerlang.
Tun Hisan berkata 268 anggota URB di 16 balai polis di negeri itu menjalankan rondaan di kawasan-kawasan tertentu bagi mengurangkan jenayah jalanan.
Tun Hisan berkata kejayaan terbaharu pasukan URB ialah menahan dua suspek di Ampang membabitkan kes samun kedai serbaneka pada 2 Jan lepas dan kes kelucahan melampau sehari kemudian.
URB dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Dis lepas dengan peruntukan 1,000 motosikal kepada Polis Diraja Malaysia bagi tujuan rondaan.
Setakat ini, 560 unit motosikal Kawasaki Ninja 250 (STDX) sudah diterima unit URB polis, manakala baki 440 unit dijangka diterima Mac depan.
#Datuk Tun Hisan Tun Hamzah #Selangor #Unit Rondaan Bermotosikal (URB)