UPSR mansuh sepenuhnya, PT3 dibatalkan
Hasimi Muhamad
April 28, 2021 14:34 MYT
April 28, 2021 14:34 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memuktamadkan untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021, sementara Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2021 pula dibatalkan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin dalam Sidang Media Khas berkata. tiada peperiksaan ganti bagi ujian murid Tahun 6 itu.
Sebaliknya jelas Radzi, fokus utama kementerian ketika ini adalah untuk memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) dan sebagainya.
Selari dengan pemansuhan UPSR, Radzi berkata Pertaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) juga dimansuhkan.
"Kita telah adakan libat urus bersama guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan berkaitan. Sesi libat urus ini melibatkan lebih 1,700 peserta.
"Pagi tadi saya telah membentang kertas Memorandum Jemaah Menteri berkaitan UPSR dan di sini kita umumkan satu keputusan. Mulai 2021, UPSR dimansuhkan sepenuhnya.
"UPSR sebagai satu komponen untuk ke SBP. Namun begitu, apabila kita melaksanakan PKSK bagi membolehkan murid masuk ke SBP, kita lihat hanya 1/4 jumlah keseluruhan murid Tahun Enam (2020) mengambil keputusan untuk menduduki PKSK," katanya di sini hari ini.
Langkah atasi kes-kes #COVID19 di sekolah - Dr Radzi Jidin
Mengulas lanjut mengenai keputusan pemansuhan UPSR, Radzi berkata, antara maklum balas yang diterima adalah guru terpaksa memberi tumpuan yang lebih kepada subjek UPSR sehingga mengekang kreativiti dalam pengajaran.
Selain itu, katanya, murid berdepan dengan tekanan untuk membuat persediaan khususnya bagi mendapatkan skor 6A.
"Antara yang dikongsi ibu bapa pula, bagaimana tumpuan pada peperiksaan ini memberi ruang terhad dalam aspek lain pendidikan.
"Ada ibu bapa cerita, mereka turut tertekan untuk sediakan anak-anak mereka bagi menduduki UPSR," ujarnya.
Mengenai PT3 pula, Radzi berkata pembatalan peperiksaan itu dibuat dengan mengambil kira kekangan masa bagi para pelajar untuk membuat persiapan, khususnya pembelajaran bersemuka bersama guru di sekolah.
"Jika kita lihat, keadaan penularan COVID-19 masih belum dapat ditangani sepenuh. Dan kita mengambil kira keadaan semasa bahawa, tanpa pelaksanaan PT3, keadah pentaksiran murid boleh terus dilaksanakan," katanya.
Tahun lalu, KPM mengumumkan UPSR dan PT3 dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.
#UPSR Mansuh
#Radzi Jidin
#Kementerian Pendidikan Malaysia
#COVID19
#UPSR Tahun 2021
#UPSR 2021 mansuh
#Adakah UPSR dibatalkan