UPSR dalam kenangan 1988-2021
Dr Azlinariah Abdullah
April 29, 2021 16:00 MYT
April 29, 2021 16:00 MYT
SAYA pernah menulis pandangan mengenai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di ruangan ini sebelum ini.
Dengan judul "Jika tiada lagi UPSR", saya ramalkan dalam tulisan terbitan 9 September 2013 itu bahawa andainya tiada lagi UPSR, apa Malaysia akan jadi.
Tulisan itu bertitik-tolak daripada bayangan Kementerian Pelajaran, pada satu hari di bulan Jun 2010 - tiga tahun sebelum tulisan diterbitkan, untuk memansuhkan UPSR di masa depan. Baiklah, itu cerita tulisan lebih tujuh tahun lepas.
Dan, pada satu hari di bulan April 2021- ketika kluster pendidikan menjadi ketakutan banyak pihak, ibu bapa, guru dan pelajar sendiri, Kementerian Pendidikan melalui Menteri Kanannya, Dr Mohd Radzi Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan selepas melalui perjalanan sejak 1988.
Walaupun 2020 bukan UPSR terakhir, sudah 33 tahun rupanya usia UPSR, usia dewasa kalau ianya adalah manusia.
Kita jujur sahaja dalam hal ini - isu membabitkan pendidikan negara. Saya antara bekas pelajar, ibu dan rakyat Malaysia yang memberi respons positif, malah mengalu-alukan dengan rasa penuh terima kasih kepada perkembangan dan transformasi pendidikan negara kita ini, melalui pengumuman pemansuhan UPSR.
Ini kerana sama ada mahu percaya atau tidak, jika anda berusia 40 tahun ke atas pada 2021, anda sudah melalui lebih 10 peperiksaan sepanjang usia itu.
Matematiknya pula, jika 10 peperiksaan itu dibahagi kepada empat puluh tahun usia, bukankah setiap dua tahun setengah, anda hadapi peperiksaan?
Dari segi congaknya pula, kalau usia 40 tahun, tentunya ia bermula dengan peperiksaan Penilaian Darjah Lima (PPDL) diikuti Sijil Rendah Pelajaran (SRP); Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Itu belum masuk peperiksaan lain setiap semester semasa di universiti awam di negara ini. Pendek kata, jika umur anda 40 tahun pada 2021, bukankah, separuh daripada hidup adalah peperiksaan?
Dan, apabila namanya peperiksaan tentu datangnya bersama tekanan dan penilaian prestasi kerana itu sifatnya peperiksaan. Semua juga tahu sifatnya peperiksaan akan datang bersama pertanyaan, lulus cemerlang? Atau mungkin ayat biasa, dapat berapa A?
Kepada saya, ada kewajarannya untuk kerajaan memansuhkan UPSR, pada masa sekarang, tidak lebih awal, bukan lebih lewat. Ini kerana saya senada dengan banyak pihak - aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
Saya ambil satu contoh biasa, soal Bahasa Inggeris. Pada masa ini, pembelajarannya adalah berdasarkan buku teks semata-mata. Justeru itu, subjek Bahasa Inggeris di Tahap 1 misalnya dicadangkan untuk terus fokus kepada komunikasi secara lebih intensif lagi, bukan kepada "grammar" atau "tenses".
Saya mahu bersetuju dengan satu posting seorang pakar pendidikan Dr Othman Taib di laman Facebook beliau. Kata Dr Othman, merujuk kepada pengajaran dalam bahasa Inggeris, analoginya mudah: biar murid tutup buku, tetapi buka mulut.
Latih mereka lebih berani untuk memperkenalkan diri dan boleh bercerita pengalaman sendiri secara ringkas dan berinteraksi dalam kelas dalam Bahasa Inggeris mudah.
"Sebagai bahasa kedua, dan bukannya bahasa ibunda, berkomunikasi dalam "broken" English adalah jauh lebih baik dan satu kemajuan sebagai asas bahasa tersebut, dari hanya senyap seribu bahasa," tambah Dr Othman.
Kita kembali kepada sejarahnya peperiksaan, khususnya UPSR yang dahulunya dikenali sebagai Ujian Penilaian Sekolah Rendah.
Ia merupakan program pengujian untuk menilai pencapaian kognitif pelajar di akhir sekolah rendah di negara ini. Ia diperkenalkan pada 1987 bagi menggantikan PPDL.
Pada tahun 1995, format Matematik diubah dengan memperkenalkan soalan subjektif di samping terdapat juga soalan objektif. Matlamatnya untuk menilai pencapaian pelajar sekolah rendah dalam kemahiran asas mereka di dalam Sains dan Matematik dan Bahasa Inggeris selain Bahasa Malaysia dengan berpandukan kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).
Untuk rekod, peperiksaan yang ada kini, UPSR menggantikan PPDL; supaya selaras dengan kehendak KBSR dan KBSM, lahir daripada Pelaksanaan Laporan Kabinet (1979) sekali gus memberikan penyesuaian dalam sistem peperiksaan untuk memenuhi hasrat dan kehendak kurikulum sejajar Falsafah Pendidikan Negara.
Saya tidak mahu berpura-pura beri sokongan. Mengambil kira pemerhatian dan kekhuatiran banyak pihak bahawa pelajar kita terlalu ditekan berorientasi peperiksaan, sangat molek jika UPSR tiada lagi selepas ini.
Itulah juga reaksi banyak pihak - bermula dari ibu bapa, guru dan pakar pendidikan juga, tidak kurang badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan. Bahawa, peperiksaan yang ada di negara ini sangat berpaksikan kepada mengumpul gred semata-mata.
Itu belum dikira insiden lebih parah, termasuk apabila ianya terlalu akademik dan usaha mengejar gred, berlaku pula kebocoran kertas peperiksaan.
Jangan dilupakan juga, dan ini perlu jujur sama, pelajar-pelajar UPSR khususnya dalam kalangan Melayu berlumba-lumba mendapatkan 5A untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Mujur, bermula tahun lepas, kerajaan persiapkan kaedah lain untuk menempatkan para pelajar ini ke SBP dan MRSM melalui peperiksaan lain.
Saya seorang ibu yang tiga anaknya menjalani UPSR - satu pada 2011, kedua (2013) dan terakhir 2018.
Jujurnya, sepanjang ketiga-tiga mereka menduduki peperiksaan itu, saya bimbang bercampur resah.
Bimbang jika saya tidak boleh berdepan tekanan yang bakal dihadapi dari kalangan keluarga yang gemar membanding-bandingkan keputusan anak pasca peperiksaan.
Resah jika ilmu yang diberi guru sepanjang enam tahun kepada anak saya itu tidak diamalkan oleh beliau.
Mujur, ketiga-tiga anak saya menyedari pentingnya mendapat ilmu dan bukannya gred. Alhamdulillah, mereka tidak obses mengejar gred, tetapi belajar menjadi manusiawi memanfaatkan ilmu dicari di sekolah rendah.
Selebihnya, saya kira ibu bapa lain berkongsi perasaan yang sama dengan saya. Jujur sahaja sekali lagi, dari kecil saya mengagumi Kolej Tun Fatimah; Kolej Tunku Kursiah MRSM Taiping dan menyimpan cita-cita menimba ilmu di sana.
Pastinya anak-anak juga mahu belajar di sekolah yang menyediakan segala yang terbaik untuk mereka.
Mujur nasib saya baik, tidak ke Kolej Tun Fatimah, Kolej Tunku Kursiah atau MRSM Taiping, tetapi ke sekolah asrama penuh aliran agama.
Cerita sejarah sekolah asrama penuh dan keinginan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke SBP dan MRSM tentunya akan berkurangan jika UPSR dimansuhkan.
Logiknya ada kerana tekanan sudah tiada untuk mengejar gred dan penempatan di sekolah "dipujakan" sebagai cemerlang.
Biarlah selepas ini anak-anak selama 12 tahun di peringkat rendah tidak dibebani peperiksaan awam lagi.
Selebihnya, apa yang lebih penting, jika tiada UPSR, ibu bapa tidak resah; anak tidak bimbang. Apa yang lebih bernilai ialah kewujudan mentaliti yang betul terhadap usaha menimba ilmu.
Pejam celik, pejam celik, 33 tahun sudah umur UPSR. Dari zaman generasi X, berubah ke zaman generasi melenial Y, generasi Z sehingga sekarang generasi Alpha.
Daripada maklumat sukar diperoleh, semua terhad pada buku-buku di perpustakaan sehingga maklumat di hujung jari.
Sudah tiba masanya, sistem penilaian berubah fokus. Fokus kepada pembinaan aspek manusia yang diperlukan untuk anak-anak "survive" dalam dunia luar. Dengan kata lain, tidak hanya mengejar A semata-mata.
Pada lapis lain, sekolah bukan sahaja tempat untuk mendapat maklumat dan ilmu pengetahuan, ia hanya mendidik pelajar menjadi seorang yang mampu berfikir. Ia memberikan alat untuk terus meneroka alam melalui ilmu pengetahuan.
Begitu juga peperiksaan. Ia bukan satu-satunya komponen untuk dijadikan penanda aras pencapaian akademik. Ini kerana ada komponen lain yang lebih penting iaitu kokurikulum dan sukan. Murid seawal usia 12 tahun boleh diuji dan dimantapkan dalam aspek itu.
Saya fikir, apabila Menteri Kanan Pendidikan umum UPSR mansuh, pada satu hari di bulan April 2021, beliau yang juga memiliki pengalaman dengan sistem persekolahan tanpa peperiksaan melalui pendidikan anak-anak beliau di Australia, dapat menerajui perubahan ini dan membuka lembaran baharu pendidikan negara.
#UPSR
#Sijil Pelajaran Malaysia
#SPM
#sekolah
#kerajaan
#pendidikan
#pelajar
#guru
#sukan
#rakyat Malaysia
#Sains
#peperiksaan
#Kementerian Pendidikan
#MARA