UPSR bocor: Polis akan maklum jika ada perkembangan siasatan - JSJ Bukit Aman

Astro Awani
September 14, 2014 04:50 MYT
MOHMAD: Siasatan sedang berjalan, kita maklum jika ada perkembangan - Gambar fail
Polis meminta semua pihak memberi masa kepada pasukan petugas menjalankan siasatan berhubung kes kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang didapati bocor minggu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pasukan itu sedang menjalankan siasatan dan sebarang maklumat tambahan akan dimaklumkan segera.
"Siasatan sedang berjalan, kita akan maklum jika ada perkembangan positif," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Low Hong Soon pada Sabtu dilaporkan berkata, polis memberi tumpuan kepada tiga negeri - Johor, Selangor dan Kuala Lumpur - berhubung siasatan kes kertas soalan UPSR yang didapati bocor.
Jelasnya, tiga negeri itu dikenal pasti berdasarkan maklumat yang dikumpul setakat ini.
Dalam pada itu, kata Mohmad, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur akan mengetuai tugas pemantauan isu ini dengan kerjasama polis Selangor dan Johor.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat, mengumumkan penggantungan tugas Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi Dr Wan Ilias Wan Salleh berkuatkuasa serta merta.
Muhyiddin berkata Na'imah terpaksa mengambil tanggungjawab ke atas insiden kedua-dua kertas UPSR bocor itu kerana ia memberi kesan terhadap integriti kementerian dan peperiksaan awam.
Sementara itu, sebuah akhbar melaporkan, kerajaan terpaksa berbelanja berjuta-juta ringgit untuk set baru kertas soalan UPSR Sains dan Bahasa Inggeris.
Akhbar itu turut memberitahu, kerajaan membayar lebih RM3 juta sehari sebagai elaun untuk 51,438 pengawas peperiksaan yang bertugas.
#bocor #Johor #lembaga #peperiksaan #polis #Sains #Selangor #tangguh #UPSR #wilayah