UPSR bocor: MIC minta orang ramai tidak tuding jari ekoran penahanan guru SJK Tamil
Bernama
September 20, 2014 23:11 MYT
September 20, 2014 23:11 MYT
MIC meminta orang ramai supaya tidak menuding jari dan membuat tuduhan tidak berasas berhubung penahanan beberapa guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berikutan kebocoran kertas peperiksaan UPSR.
Naib Presidennya, Datuk S. Balakrishnan berkata orang ramai perlu membiarkan pihak berkuasa menyiasat perkara itu dengan teliti, sambil menambah adalah tidak adil untuk menjadikannya isu perkauman.
"Secara peribadi, saya tidak percaya bahawa penahanan guru-guru sekolah Tamil itu mempunyai apa-apa kaitan dengan bangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gappin Johor di sini hari ini.
Susulan laporan polis berhubung kebocoran kertas peperiksaan subjek Sains dan Bahasa Inggeris UPSR, polis menahan 14 orang bagi membantu siasatan.
Kebocoran kertas soalan itu menjejaskan hampir 470,000 murid Tahun Enam yang terpaksa mengambil semula peperiksaan bagi kedua-dua subjek yang dijadualkan pada 30 Sept.