UPSR berorientasi peperiksaan, tidak penuhi definisi pendidikan - Tan Sri Alimuddin
Astro Awani
April 29, 2021 12:56 MYT
April 29, 2021 12:56 MYT
KUALA LUMPUR: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) wajar dimansuhkan lantaran ia dilihat lebih berorientasikan peperiksaan dan tidak memenuhi definisi pendidikan.
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, cadangan itu telah lama dikemukakan supaya sistem pendidikan rendah tidak hanya tertumpu kepada UPSR sahaja.
"Sudah lebih setahun murid-murid tidak dapat datang ke sekolah, selain sejak akhir-akhir ini banyak sekolah yang terpaksa ditutup. Sudah tentu pembelajaran murid-murid agak tergendala.
"Berkait sistem pendidikan, ia telah lama dibincangkan iaitu untuk tidak memberi tumpuan kepada UPSR kerana seolah-olah pendidikan ini hanya untuk UPSR sahaja.
"Kalau kita lihat definisi pendidikan - iaitu untuk memberi pengetahuan, membentuk sahsiah dan menjadikan seseorang murid itu serba boleh, mempunyai kebolehan dan bakat selain mengembangkan bakat mereka.
"Jadi, kalau kita tumpukan kepada UPSR sahaja, sudah tentu ia tidak tepat dengan definisi pendidikan itu sendiri," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Transformasi sistem pendidikan peringkat rendah tanpa UPSR
Semalam, kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan tahun lalu akibat COVID-19.
#COVID-19
#peperiksaan
#UPSR
#pendidikan
#Alimuddin Mohd Dom
#Radzi Jidin
#orientasi peperiksaan
#mansuh
#sekolah
#kerajaan