UPSI sokong cadangan PM dua kementerian berkaitan pendidikan

Bernama
Januari 12, 2020 04:54 MYT
UPSI sentiasa memberi sokongan padu terhadap cadangan dan idea untuk mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi. - Gambar hiasan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyokong hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melihat kepada kemungkinan untuk memecahkan semula Kementerian Pendidikan (KPM) kepada KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata kompleksiti institusi pengajian tinggi semakin mencabar memungkinkan satu kementerian khas mengambil kira atau bertanggungjawab memastikan kemajuan dan kecemerlangan institut pengajian tinggi negara.
Beliau berkata ia selaras dengan hasrat negara menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan dunia pada masa akan datang.
"Kita yakin dengan cadangan yang diutarakan Perdana Menteri untuk mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi, ia suatu hasrat yang murni dan kami di UPSI sentiasa memberi sokongan padu terhadap cadangan dan idea tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya melalui kementerian tersebut, universiti awam dan swasta boleh memberi tumpuan khas bersama menteri yang bertanggungjawab mencapai hasrat membawa lebih ramai pelajar antarabangsa sekaligus dapat menyuntik dana menerusi yuran pelajar berkenaan.
Sementara itu, Mohammad Shatar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Mahathir yang memangku tugas sebagai Menteri Pendidikan sementara pelantikan menteri yang baharu.
"Tun Dr Mahathir memiliki pengalaman yang luas sebagai Perdana Menteri dan pernahmenjawat jawatan Menteri Pendidikan pada suatu ketika dahulu," katanya.
Pada Sabtu, Bernama melaporkan Dr Mahathir berkata pihaknya sedang mengkaji untuk 'memecahkan' Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pengajian Tinggi seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Pada 10 Jan lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata Dr Mahathir akan memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Jan, seperti diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas (8 Jan).
-- BERNAMA
#dua kementerian #kabinet #Kementerian Pendidikan #Mahathir Mohamad #Menteri Pendidikan #Mohammad Shatar Sabran #pendidikan #Perdana Menteri #Universiti Pendidikan Sultan Idris
;