UPSI salur bantuan kepada keluarga arwah Nur Farah Kartini

Bernama
Julai 17, 2024 23:00 MYT
UPSI menyalurkan bantuan kepada keluarga bekas pelajarnya Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, termasuk kos penginapan dan pengangkutan sepanjang tempoh mereka berada di Tanjung Malim. - Foto UPSI
IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan bantuan kepada keluarga bekas pelajarnya Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, termasuk kos penginapan dan pengangkutan sepanjang tempoh mereka berada di Tanjung Malim, di sini.
Naib Canselornya Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata ia sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan khususnya dalam menyelesaikan urusan dengan pelbagai pihak.
"Pihak UPSI menyediakan kemudahan penginapan serta kenderaan bagi keluarga mangsa bagi memudahkan urusan ke hospital, balai polis, mahkamah dan sebagainya.
"Pihak UPSI turut menyediakan beberapa bas bagi petugas dan pelajar yang ingin mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan serta sokongan kepada Allahyarham," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Isnin lepas, mayat Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang.
Mangsa dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, setelah menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Sementara itu, Md. Amin berkata pihaknya amat menitikberatkan nilai ukhuwah sebagai antara kaedah memastikan kebajikan setiap warga UPSI terbela.
"UPSI merupakan universiti yang unik kerana setiap warga yang mencurahkan bakti di universiti ini dianggap sebagai aset yang sangat berharga," katanya.
Terdahulu dalam kenyataan sama, universiti itu menerusi Kolej Awang Had Salleh (KAHS) dan Pusat Islam menganjurkan majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk Allahyarham Nur Farah Kartini yang turut disertai Md Amin serta petugas dan pelajar di Masjid Al- Mursyidin Kampus Azlan Shah di sini pagi tadi.
-- BERNAMA
#UPSI #bantuan #Nur Farah Kartini #Universiti Pendidikan Sultan Idris
;