UPSI realisasikan impian Aminuddin miliki kerusi roda elektrik

Abd Razak Mohd Ali
September 9, 2022 18:32 MYT
Aminuddin, penuntut semester 4 yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan mengakui memang sudah lama mengidamkan sebuah kerusi roda elektrik kerana mahu berdikari. - Foto Astro AWANI
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyumbangkan sebuah kerusi roda elektrik kepada pelajar berkeperluan khas Diploma Rekabentuk Pembangunan Permainan, Aminuddin Al-Hafiz Ismahisham, 20.
Aminuddin, penuntut semester 4 yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan mengakui memang sudah lama mengidamkan sebuah kerusi roda elektrik kerana mahu berdikari.
Menurutnya, sepanjang zaman persekolahan sekolah rendah dia banyak dibantu rakan-rakan sekelas yang menolak kerusi rodanya.
“Saya mahu berdikari dan tidak mahu susahkan orang lain, syukur dan terima kasih kepada UPSI bila bermurah hati sumbang kerusi roda elektrik untuk membantu pengajian saya di sini,” kata selepas menerima bantuan kerusi roda elektrik di sini hari ini.
Sumbangan disampaikan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Anak tunggal yang dibesarkan oleh neneknya hasil pencen arwah datuk menjadikan Aminuddin hanya mampu memendam rasa untuk memiliki kerusi roda elektrik.
Menurutnya, sebaik mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke UPSI, dia gembira apabila pihak universiti banyak membantu menyediakan prasarana yang lengkap.
“Selain kemudahan kolej kediaman, saya turut dibantu kemudahan pengangkutan khas setiap kali pergi dan balik ke kelas selain mempunyai rakan-rakan yang banyak membantu menolak saya menggunakan kerusi roda,” ujarnya.
Sementara itu, Md Amin, sumbangan itu merupakan inisiatif UPSI untuk membantu mahasiswa, termasuk golongan berkeperluan khas, asnaf dan B40 mendapatkan pendidikan yang sempurna sepanjang pengajian mereka.
“Ini juga merupakan salah satu teras amalan budaya yang diterapkan UPSI memastikan kebajikan warganya terpelihara dan saya percaya sumbangan ini sekali gus memberi harapan baru kepada Aminuddin untuk belajar bersungguh-sungguh mencapai cita-citanya seterusnya kembali berbakti kepada masyarakat setelah berjaya,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada dermawan dana Tabung UPSI Prihatin selain penyumbang dana kepada Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI bagi membantu golongan sasaran.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata, pihaknya akan meneruskan agenda membantu kebajikan para mahasiswa melalui Seksyen Kebajikan Pelajar.
Menurutnya, inisiatif itu dilihat amat bertepatan dengan kesesuaian teknologi semasa, namun terdapat kekangan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan sumbangan kerusi roda manual yang jauh lebih murah.
Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak yang ingin menginfakkan harta secara wakaf ataupun memberi sumbangan boleh berbuat menghubungi 05-450 6000 atau layari laman sesawang https://epayment.upsi.edu.my/
#UPSI #pelajar berkeperluan khas #kerusi roda elektrik #Aminuddin Al-Hafiz Ismahisham
;