UPSI, Aerodyne teroka potensi teknologi dron dalam inovasi pendidikan

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 17, 2022 11:40 MYT
Profesor Dr Md Amin Md Taff (tiga dari kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Pengasas dan Kamarul A Muhamed (tiga dari kanan) di Cyberjaya. - Foto UPSI
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat tempatan untuk meneroka potensi teknologi dron dalam inovasi pendidikan.
UPSI menerusi Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) menjalin kerjasama itu dengan Kumpulan Aerodyne, sebuah syarikat tempatan yang menawarkan perkhidmatan dron di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI sentiasa mencari ruang untuk mengukuhkan jalinan kerjasama erat antara akademia dan industri melibatkan kementerian, universiti, industri, dan komuniti.
Menurutnya, ia juga selaras dengan sasaran kerajaan bagi mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan melalui industri dron di Malaysia dengan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM50 bilion pada tahun 2030.
“Kerjasama ini dilihat dapat merealisasikan matlamat dengan menyediakan latihan yang berstruktur serta komprehensif dengan memperkenal pendekatan yang lebih berkesan dan terkini (Dronegogy) agar lebih ramai berpeluang untuk terlibat sama dalam industri ini,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perjanjian persefahaman di pejabat urusan Kumpulan Aerodyne, di Cyberjaya, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Marzita Puteh; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengasas, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul A Muhamed dan Ketua Pegawai Governan Kumpulan Aerodyne, Azita Azizan.
Menurut Md Amin, UPSI dan Aerodyne senada dalam usaha untuk meningkatkan nilai modal insan dan kepakaran tempatan, dalam bidang-bidang teknologi data analitik dan transformasi digital yang lebih menyeluruh.
“UPSI sebagai universiti nombor satu pendidikan menekankan peri pentingnya menaikkan kesedaran masyarakat berkenaan situasi ini agar Malaysia sentiasa bersaing dengan negara luar,” ujarnya.
Sementara itu, Kamarul berkata teknologi seperti Quantum komputer dan kecerdasan buatan kini membangun pesat, menuju ke arah kecerdasan buatan general (Artificial General Intelligence) yang akan merubah pelbagai lanskap ilmu dan kemahiran.
Beliau berharap kerjasama erat itu akan menjadi katalis kepada pelbagai inovasi dalam pendidikan dan teknologi.
#UPSI #dron #MoU #Kumpulan Aerodyne
;