UPP Kelantan tubuhkan Unit Risikan Khas
Astro Awani
Julai 14, 2013 12:30 MYT
Julai 14, 2013 12:30 MYT
Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan menubuhkan satu unit khas yang dinamakan Unit Risikan Khas bagi membanteras penyeludupan senjata api dan dadah dari negara jiran yang di bawa masuk ke negara ini.
Menurut komandernya, Rosli Karim, penubuhan unit tersebut sejajar dengan arahan kementerian dalam negeri (KDN) yang mahukan kawalan di sempadan dan pembanterasan kemasukan barangan terlarang itu dipertingkatkan.
Melihat senario kes melibatkan senjata api di Kelantan yang membimbangkan dengan terbaru melibatkan kematian seorang guru, penubuhan unit tersebut di lihat aset utama UPP bagi membendung penyeludupan barangan tersebut.
Katanya selain itu, UPP juga memantau dan membanteras penyeludupan, barangan keperluan lain, termasuk beras, minyak masak, petrol dan sebagainya termasuk bunga api yang mendapat permintaan tinggi sepanjang musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri.
“UPP Kelantan juga telah menubuhkan satu unit risikan yang berpusat di Kota Bharu di bawah pengawasan saya untuk menangani kes-kes seperti senjata api dan dadah, kita baru tubuh dan Insyaallah kita akan serius.
“Walaubagaimana pun, kalau kita lihat di sempadan kita tak boleh berdiri sendiri dan kita memerlukan sokongan yang kita panggil pasukan sahabat yang sentiasa kita bekerjasama,” katanya.
Bercakap kepada Astro Awani, beliau menjelaskan kerjasama penguatkuasaan itu melibatkan angkatan tentera yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand, polis dan pihak berkaitan.
Penubuhan unit khas dengan dianggotai 30 anggotanya itu merupakan langkah drastik UPP Kelantan dalam membendung jenayah penyeludupan senjata api dan dadah di Kelantan ini.
UPP juga mengadakan sekatan dan pemeriksaan di tiga sekatan jalan keluar dari sempadan, masing-masing di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Tumpat dan Bukit Bunga, Jeli.
Kerjasama penguatkuasaan dari pelbagai agensi dan pemantauan bermula di sempadan hingga ke sekatan jalan raya di lihat langkah drastik bagi membendung penyeludupan barangan terlarang itu.
Begitu pun jelasnya, pemantauan yang dilakukan oleh semua pihak bertanggungjawab itu bukannya satu perkara mudah kerana sempadan Malaysia-Thailand yang bermula dari Tumpat hingga Jeli melibatkan 150 kilometer dengan lebih 150 pengkalan haram yang mudah dibolosi oleh penyeludup.
Untuk itu kerjasama semua pihak termasuk penduduk dalam melaporkan kegiatan penyeludupan amat diperlukan bagi membendung kes-kes jenayah melibatkan penggunaan senjata api yang dipercayai didalangi oleh sindiket pengedaran dadah.
Baru-baru ini, semasa sidang Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada memaklumkan bahawa pihaknya melalui UPP akan mempertingkatkan pengawasan dan kawalan di sempadan bagi membendung jenayah senjata api di Kelantan yang di lihat serius dan membimbangkan.