UPM universiti pertama negara laksana kajian pembiakan buaya guna tabung uji

Bernama
September 28, 2015 05:40 MYT
Kajian mula dijalankan April tahun lepas dengan membabitkan empat ekor buaya tembaga jantan di Santuari Sarang Buaya di Pasir Gudang dekat sini. -Gambar fail
Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi universiti pertama di negara ini yang berjaya menjalankan kajian terhadap buaya tembaga dalam usaha menambah baik proses pembiakan reptilia itu.
Ketua Penyelidiknya Prof Dr Abd Wahid Haron berkata hasil kajian itu akan dapat membangunkan teknologi pembiakan seperti permanian beradas kepada spesies ini.
Beliau berkata kajian mula dijalankan April tahun lepas dengan membabitkan empat ekor buaya tembaga jantan di Santuari Sarang Buaya di Pasir Gudang dekat sini.
"Apa yang kami lakukan ialah semen (air mani) akan diperolehi daripada buaya jantan dan disimpan melalui melalui proses pengawetan bagi tempoh yang lama.
Apabila kaedah ini digunakan, pembiakan buaya tidak perlu lagi dilakukan dengan cara normal sebaliknya hanya dilakukan persenyawaan dalam tabung uji," kata beliau kepada pemberita di sini petang tadi.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis penghargaan kerjasama penyelidikan dan menandatangani hasil kajian buaya tembaga antara Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Fakulti Perubatan Veterinar UPM di Menara Aqabah MPPG, hari ini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua MPPG Md Za'nal Misran.
Wahid berkata pihaknya hanya memerlukan kos RM2,000 untuk menjadikan penyelidikan itu berjaya selain mendapat bantuan kepakaran tenaga daripada Sarang Buaya Pasir Gudang, MPPG dan Jabatan Perhilitan negeri.
"Kami berbangga melakukannya kerana disifatkan boleh membantu MPPG dalam melonjakkan sektor eko pelancongan, farmaseutikal dan pendidikan yang berasaskan penyelidikan.
"Lagipun, tidak ramai badan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan serta agensi kerajaan berminat untuk melakukan kajian setelah mengambil kira perasaan fobia, takut buaya berkenaan bertindak ganas ketika didekati," katanya yang juga pensyarah Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar Fakulti Perubatan Veterinar UPM.
#buaya tembaga #Kajian #tabung uji #universiti #UPM