UPM kaji kawasan pertanian terjejas banjir di Kelantan

Rahimah Abdullah
November 26, 2015 14:14 MYT
Kajian menumpukan kepada tanaman pokok getah, padi dan sayur-sayuran yang terjejas dalam banjir besar itu. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Pertaniannya sedang melakukan kajian ke atas kawasan pertanian di Kelantan bagi membantu golongan petani yang terjejas dengan bencana itu tahun lalu.
Menurut Timbalan Dekan Fakulti Pertanian, UPM, Profesor Mahmud Tengku Muda Mohamed, kajian menumpukan kepada tanaman pokok getah, padi dan sayur-sayuran yang terjejas dalam banjir besar itu.
"Jadi bagaimana untuk membantu mangsa-mangsa banjir terutama mereka terlibat dengan aktiviti pertanian khususnya tanaman yang mana kita tahu mereka mengalami kerugian kemusnahan tanaman sendiri.
''Jadi kita diminta oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk membantu mereka dan pada masa sama untuk meningkatkan pendapatan mereka secara pantas dan kita telah hasilkan tiga cadangan," katanya.
Beliau ditemui Astro AWANI semasa menghadiri Perbincangan Meja Bulat: Pra-Kongres Profesor Negara III: Kluster Pertanian dan Makanan di Fakulti Pertanian, UPM, di sini hari ini.
Beliau berkata, kajian awal ke atas tanaman pokok getah di Gua Musang menunjukkan hasil yang positif kesan rawatan ke atas tanaman berkenaan.
Bagaimanapun, ia masih di peringkat awal dan hasil kajian akhir dijangka diperoleh pada pertengahan tahun depan.
Antara masalah utama yang menghalang petani untuk meneruskan aktiviti pertanian mereka ialah keadaan tanah memerlukan penambahbaikan segera.
"Daripada kajian awal sebab kandungan asid terlampau tinggi tetapi P.H rendah sepatutnya PH 5.5 hingga 6.5, tetapi kesan banjir menyebabkan tanahnya menjadi PH 3.5 hingga 3.9 dan ini tidak bagus untuk pertumbuhan pertanian," ujarnya.
Hasil kajian ke atas tanaman kesan banjir itu nanti akan didedahkan kepada golongan petani terlibat sebagai panduan untuk mereka menambah produktiviti pertanian mereka.
Dalam pada itu, UPM juga sedang membantu petani di Kelantan untuk menggalakkan penanaman pokok herba di kawasan tanaman pokok getah.
"Di antara pokok getah itu, kita letak tanaman herba yang ada nilai tinggi dan hasil kajian ada kesesuaian pokok herba di kalangan pokok getah,'' jelasnya.
Beliau menambah, hasil herba ini dijangka dapat dituai Januari depan.
#banjir #Kelantan #Kementerian Pengajian Tinggi #Mahmud Tengku Muda Mohamed #Universiti Kebangsaan Malaysia
;