UPM bakal miliki hospital sendiri pada 2018

Rahimah Abdullah
April 21, 2016 16:52 MYT
DR ABDUL JALIL: Pembinaan hospital pertama universiti tempatan itu 25 peratus siap. -Foto www.upm.edu.my
Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) yang sedang dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018.
Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Professor Datuk Dr Abdul Jalil Nordin, ketika ini pembinaan hospital pertama universiti tempatan itu 25 peratus siap.
"Projek ini telah lama dipohon untuk UPM mendapatkan hospital sendiri iaitu sejak tahun 2008, dan dengan keprihatinan kerajaan serta keperluan doktor perubatan di UPM, pada 2013/2014 kita secara rasmi mendapat kelulusan.
"Semua perancangan bermula akhir tahun 2014," kata Dr Abdul Jalil ketika ditemui Astro AWANI pada Hari Terbuka Inovasi UPM, di sini, hari ini.
HPUPM dilengkapi 400 buah katil dan bakal menjadi pusat pengajaran program perubatan bagi Fakulti Perubatan dan Sains Perubatan UPM.
"Sebelum ini kita menggunakan Hospital Serdang yang merupakan hospital yang terletak di bawah Kementerian Kesihatan dan HPUPM ini akan jadi di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Tinggi," kata Dr Abdul Jalil lagi.
Pembinaan HPUPM melibatkan peruntukan kos kira-kira RM600 juta.
"Kita sekarang ada 600 kakitangan akdemik termasuk kakitangan klinikal UPM. Untuk operasi HPUPM, kita perlu kakitangan 2,000 tenaga kerja," katanya lagi.
Jelasnya, HPUPM bakal menjadi fungsi tambahan kepada Hospital Serdang.
"Hospital Serdang menumpukan kepada bidang tertentu. Jadi untuk program doktor perubatan, kita memerlukan pendekatan secara holistik.
"Seorang pelajar perubatan perlu kepada perkara lazim yang bakal dikendali apabila bekerja kelak. Jadi itulah sebab HPUPM ini didirikan," kata beliau.
Pada masa sama, HPUPM akan menawarkan perkhidmatan perubatan yang belum ada di Hospital Serdang.
"Jadi, dengan langkah itu, perkhidmatan kesihatan dan perubatan di kawasan Serdang akan lebih lengkap dengan adanya HPUPM ini," tambahnya.
#Dr Abdul Jalil Nordin #Hospital #Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia #HPUPM #Kementerian Pendidikan Tinggi
;