UPM anjur Persidangan Antarabangsa Mengenai Bahasa Asing MICFL 2021
Oktober 3, 2021 07:48 MYT
Persidangan yang bertemakan IR 4.0 in Foreign Language Studies akan menghimpunkan pakar dalam bidang bahasa asing dari dalam dan luar negara membincangkan isu kebahasaan, kesusasteraan, pengajaran dan pembelajaran serta perkembangan bahasa asing di era globalisasi tanpa sempadan sebagai sumbangan bermakna kepada pengembangan pembelajaran dan pengajaran bahasa asing di Malaysia khususnya dan di negara serantau amnya.
Persidangan itu akan dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman pada 4 Oktober 2021 (Isnin), jam 8.45 pagi dan ucaptama akan disampaikan oleh Profesor Emeritus Dr. Keiko HORII dari Universiti Musashino, Tokyo, Jepun dengan tajuk The Goal of Foreign Language Education in IR 4.0 pada jam 10 pagi.
Dr Mohd Roslan berkata, Revolusi Industri (IR) 4.0 ini dicirikan oleh kemajuan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Realiti Maya Augmented, Data Besar and Analytics, dan Internet Benda (IoT).
”Apabila disesuaikan dengan persekitaran tempat kerja, kemajuan teknologi ini memungkinkan kaedah dan peluang baru untuk nilaicipta kepada organisasi dan pendidikan.
”Hakikatnya, IR 4.0 dalam pendidikan tinggi memerlukan ahli akademik dan pelajar menggunakan automasi, perkongsian data, robotik, artificial intelligence dan IoT untuk merealisasikan penyampaian, penilaian dan komunikasi sesuatu bidang dan tidak ketinggalan bahasa asing,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Persidangan itu yang bertemakan IR 4.0 in Foreign Language Studies adalah untuk menyediakan platform bagi golongan akademik, persatuan linguistik, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat keseluruhannya untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan tentang aspek perkembangan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa asing.
Selain itu, persidangan tersebut adalah untuk mewujudkan jaringan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa antara semua delegasi yang hadir pada persidangan ini serta membincangkan isu dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan, kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa asing yang memerlukan perhatian daripada penggubal dasar dalam menyemak semula keberkesanan pelaksanaan dasar pengajaran bahasa asing di Malaysia dan di negara serantau.
Persidangan pada kali ini dijangkakan akan disertai oleh 100 peserta yang terdiri daripada pakar linguistik, ahli akademik dan pelajar pasca siswazah dari dalam dan luar negara.
Sesi plenari pertama bertajuk Strenghtening the Foreign Language Learning During Covid19 An Insight Into Technology-Based Solutions Network (MTUN) disampaikan oleh Profesor Muhammad Sabri Sahrir dari Jabatan Bahasa dan Literasi, Kuliah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Ia diikuti sesi planeri kedua disampaikan oleh Profesor Ismi Arif Ismail, Pengarah, Institut Penyelidikan Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia dengan tema IR 4.0 and Foreign Language Studies.
MICFL 2021 ditaja oleh Universiti Putra Malaysia, Lee Foundation of Malay State, Fo Guang Shan Malaysia dan Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah.