UPM anjur Karnival Keterjaminan Makanan hari ini
Bernama
Jun 7, 2024 08:30 MYT
Jun 7, 2024 08:30 MYT
SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Karnival Keterjaminan Makanan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di UPM, hari ini.
UPM dalam kenyataan semalam memaklumkan, penganjuran karnival sehari yang bermula 8.30 pagi hingga 5 petang itu adalah antara usaha universiti bagi merealisasikan agenda pertanian dan sekuriti makanan negara sejajar dengan hasrat negara untuk menangani isu ini.
Pada hari karnival ini juga Blueprint Keterjaminan Makanan iaitu dokumen rujukan kepada pihak yang berkepentingan dalam membantu isu keterjaminan makanan melalui program akademik, penyelidikan dan inovasi serta khidmat pengembangan akan dilancarkan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dijangka melancarkan dokumen ini.
"Karnival ini menyasarkan komuniti tempatan, intitusi pengajian tinggi, sekolah, agensi serta pihak berkepentingan lain di Lembah Klang selain seluruh warga UPM terhadap peranan masing-masing bagi memberi solusi keterjaminan makanan kepada negara.
"Turut dilaksanakan Forum Pertanian untuk Rakyat (PUTRA): Inklusiviti UPM Menyubur Pertanian dan Keterjaminan Makanan, demonstrasi pertanian bandaran, pameran berfokus kepada tanaman, penternakan dan teknologi semasa bidang ini termasuk jualan produk pertanian," menurut kenyataan itu.
Karnival Keterjaminan Makanan ini juga ialah program khusus kesinambungan daripada pelancaran penjenamaan PUTRA yang dilancarkan Canselor UPM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 16 Mei lepas di Istana Alam Shah, Klang.
-- BERNAMA