UPKK tangguh ke 15 hingga 18 November
Astro Awani
September 7, 2021 10:24 MYT
September 7, 2021 10:24 MYT
KUALA LUMPUR: Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) untuk murid Tahun 5 dan 6 tahun ini, yang dijadual mulai 4 hingga 7 Oktober depan, ditangguhkan ke 15 hingga 18 November depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa.
Ia juga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin serta persediaan yang perlu dilakukan pusat peperiksaan.
"Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa serta ulasan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia, dan keputusan kebenaran Majlis Keselamatan Negara bertarikh 6 September 2021," kata Idris dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Idris menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada semua agensi bertanggungjawab yang melaksanakan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh Malaysia dan pihak yang terlibat dengan pelaksanaan UPKK untuk subjek bertulis bagi calon tahun 2020 dan 2021.
Pada 11 Nov tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan berkata ujian UPKK 2020 akan dilakukan serentak dengan UPKK 2021 pada 4 hingga 7 Okt 2021.
Zulkifli dilaporkan berkata keputusan itu dilakukan oleh Jakim selepas mempertimbangkan kepentingan semua pihak dan ia melibatkan lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab dan Lughah Al-Quran.
Pada masa sama, Idris berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga optimis dengan usaha kerajaan menuju sasaran imuniti kelompok dalam negara.
Sehubungan itu, pihaknya membuat ketetapan hanya petugas peperiksaan yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 sahaja dibenarkan bertugas di semua pusat peperiksaan.
"Kerajaan sentiasa komited memastikan pelaksanaan UPKK berjalan lancar dan berjaya," tambahnya.
Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan pada 15 Ogos lalu membuat keputusan sesi persekolahan akan mula dibuka pada 3 Oktober depan secara berperingkat.
Selaras dengan itu, Jakim memutuskan pembukaan sesi persekolahan bagi calon peperiksaan UPKK juga akan bermula pada tarikh yang sama, mengikut ketetapan tersebut.