UPKK bagi calon 2020, 2021 diganti dengan penilaian sepenuhnya
Bernama
September 23, 2021 06:58 MYT
September 23, 2021 06:58 MYT
PUTRAJAYA: Peperiksaan bagi subjek bertulis Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi calon tahun 2020 dan 2021 akan digantikan dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya, demikian umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad semalam.
Peperiksaan UPKK sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 18 November.
Idris berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memaklumkan kaedah serta tarikh pelaksanaan bagi menggantikan ujian bertulis itu.
Beliau berkata keputusan itu tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid kepada subjek yang dipelajari bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6.
"Pelaksanaan UPKK secara penilaian ini tidak akan menjejaskan mutu terhadap tahap penguasaan murid dan peluang untuk ke sekolah menengah," katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu Idris berkata pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara bagi murid Tahun 1 hingga 6 akan diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga takwim persekolahan tahun 2021 berakhir.
"Ibu bapa diminta memastikan anak-anak mengikuti aktiviti pendidikan KAFA secara PdPR," katanya.
Beliau berkata Jakim sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan COVID-19 dan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PFN) di negara ini khususnya dari aspek keselamatan murid dan semua tenaga pengajar KAFA.
"Guru KAFA dan murid hendaklah terus membuat persediaan rapi bagi menghadapi proses selanjutnya yang akan dilaksanakan oleh Jakim nanti," katanya.
Pada 12 Sept lepas, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut fasa PPN bermula 3 Oktober ini.
-- BERNAMA