Upin Ipin, Boboiboy, Ejen Ali sertai perarakan Hari Kebangsaan 2024

Bernama
Ogos 31, 2024 09:30 MYT
Kontinjen watak animasi Upin & Ipin turut menyertai perbarisan Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kehadiran watak animasi popular Upin dan Ipin, Papa Zola, Mechamato, Didi, BoBoiBoy dan Ejen Ali antara yang menarik perhatian pengunjung sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Tugas pemakai maskot mungkin kelihatan mudah, menyebabkan tidak ramai menyedari individu di sebalik maskot berkenaan sebenarnya menggalas tanggungjawab besar dalam menjayakan perarakan itu.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Kreatif dan Teknikal Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Kamaruza'ain A Kadir berkata pengendali maskot perlu memiliki kesabaran dan daya tahan tersendiri kerana harus beraksi bersama beban maskot yang digunakan.
"Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi pemakai maskot kerana mereka berdepan situasi pergerakan terhad dan pada masa sama, perlu berjalan dalam tempo ditetapkan bagi perarakan. Sebagai contoh, masa diberikan ialah antara dua hingga tiga minit sahaja untuk melintasi pentas utama.
"Yang mengenakan kostum biasa dan ringan lebih mudah bergerak berbanding (pemakai maskot) yang lain. Ada juga maskot yang mempunyai pengudaraan lebih baik, tetapi untuk berjalan, mereka tetap memerlukan masa dan pengiring bagi memastikan semuanya lancar," katanya kepada Bernama hari ini.
Seperti dijangka, golongan penonton cilik paling bersemangat setiap kali melihat watak animasi kegemaran mereka dengan sorakan serta tepukan diberikan, secara tidak langsung membolehkan si pemakai maskot tersenyum walaupun sedang berpanas di sebalik maskot yang tebal.
Pada sambutan tahun ini, 29 maskot membuat penampilan bagi Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran diketuai Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS Ahmad Syazli Muhd Khiar yang turut menyelitkan elemen perpaduan dan kepelbagaian Malaysia menerusi kehadiran maskot seperti Mei Mei, Jarjit, Ehsan, Uncle Muthu dan Kak Ros.
Turut menyertai perarakan ialah replika Rumah Opah, iaitu tempat kembar animasi popular negara Upin dan Ipin dibesarkan yang dibawa menggunakan kereta berhias syarikat penerbitan dan studio animasi Les' Copaque Production.
Selain itu, Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran yang disertai 415 orang itu turut menampilkan barisan pelakon filem Keluang Man dan filem Kahar: Kapla High Council, yang merupakan pendekatan bagi mempromosikan filem tempatan.
Turut menganggotai kontinjen itu, 132 peserta yang mewakili stesen penyiaran tempatan termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Media Prima Berhad selain personaliti televisyen serta radio.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #perarakan #watak animasi popular #Dataran Putrajaya
;