Upah serendah RM70, tekong darat cuba seludup enam PATI ditahan

Radhi Muslim
Mac 21, 2021 10:37 MYT
Enam PATI dan pemandu tempatan ditahan ketika cuba melalui PPJ Sapi Nangoh. -Astro AWANI
BELURAN: Hanya serendah RM70, itu jumlah bayaran tambang yang dikenakan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi melalui Pusat Pemeriksaan Jalan (PPJ) Sapi Nangoh, di Beluran.
Ia diketahui selepas satu laporan polis dibuat pada Sabtu berhubung penahanan tujuh individu berusia 18 hingga 59 tahun termasuk seorang warga tempatan yang berperanan sebagai tekong darat.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata sebelum kejadian, enam PATI dan pemandu tempatan menaiki kenderaan jenis Proton Ertiga dan cuba melalui PPJ Sapi Nangoh.
Menurutnya, semua suspek cuba melalui PPJ Sapi Nangoh kira-kira jam 6.45 petang, pada Jumaat.
“Namun, sebaik diminta berhenti lalu diperiksa, enam individu itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil siasatan awal mendapati, PATI berkenaan dalam perjalanan dari Berkat Setia menuju ke Sapi Nangoh dengan tujuan berpindah tempat kerja.
“Untuk itu, pemandu tempatan terbabit mengenakan bayaran tambang RM70 seorang bagi perjalanan tersebut.
“Susulan itu, semua suspek ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.
Menurutnya, semua mereka dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid untuk menjalani ujian calitan COVID-19 sebelum ditahan di lokap Balai Polis Telupid.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 55E/6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
#pati #upah RM70 #pendatang asing tanpa izin #Imigresen #bayaran tambang #Kasim Muda #Sapi Nangoh #Pusat Pemeriksaan Jalan #PPj #tekong darat
;