Upah mencuci tangki pengganti rezeki jurugambar profesional ini
Sahlizah Mohamed
Jun 13, 2020 11:04 MYT
Jun 13, 2020 11:04 MYT
Benarlah bagai dikata, rezeki Allah itu seluas alam semesta, selagi ada usaha dan ikhtiar, pasti ada jalan.
Kebergantungan hidup selama hampir 30 tahun atas kerjaya sebagai seorang jurugambar terpaksa diketepikan seketika apabila ia tidak lagi memberi jaminan untuk meneruskan kehidupan.
Demi kelangsungan hidup, Ahmad Zahrul Kamarudzaman, 48, terpaksa beralih arah menjadi seorang pencuci tangki air.
“Dulu saya memang seorang jurugambar sepenuh masa.. banyak buat liputan majlis-majlis korporat. Namun kini saya terpaksa beralih arah kepada seorang pencuci tangki air kerana cabaran utama yang kita lalui sekarang ini, cabarannya utama adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kalau ikutkan keadaan saya, sebelum PKP saya sudah ada beberapa job untuk liputan sepanjang tahun.
“Bagaimanapun, memandangkan apabila kita dapat arahan daripada kerajaan tentang PKP dilaksanakan, semua job yang saya dapat tu terpaksa dibatalkan,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Bapa kepada empat cahaya mata itu melahirkan kesyukuran apabila masih mampu menjana rezeki hasil perkhidmatan mencuci tangki yang tidak pernah dibayangi mata sebelum ini.
Segala-galanya bermula pada Ramadan lalu apabila Zahrul sedang mencuci tangki di kediamannya di Puncak Alam, Selangor.
Pertanyaan jiran-jiran tentang servis mencuci tangki akhirnya membawa kepada pengetahuan pelanggan-pelanggan di luar kawasan kediamannya.
“Daripada situ saya ambil peluang untuk komersialkan pengalaman saya cuci tangki rumah.
“Sebenarnya kalau ikutkan pengalaman, saya memang ada pengalaman cuci tangki sebab sebelum saya jadi jurugambar, saya bekerja di sebuah syarikat Jepun di sini dan tugasan saya adalah menjaga cooling tower. Saya juga terlibat dengan waste water analysis.
“Pengalaman tersebut saya gunakan untuk saya menjana pendapatan bagi menggantikan punca pendapatan utama saya iaitu fotografi,” kata pemuda kelahiran Pahang itu.
Bercerita lanjut tentang kerjaya baharunya itu, Zahrul tidak terlepas daripada pengalaman yang menjijikkan.
Jelasnya, ramai penghuni rumah tidak endahkan keadaan di atas siling kediaman mereka termasuk tangki air yang tidak pernah dicuci selama bertahun-tahun!
“Apabila kita tak ambil endah, ada tangki yang sudah penutupnya sudah ghaib. Saya pernah cuci sebuah pejabat dalam keadaan tangki tidak bertutup..air jadi berlumut seperti lombong tinggal, penuh lumut.
“Ada tulang ayam kerana mungkin burung makan dan dibuang dalam tangki. Ia amat menjijikkan. Selain itu, ada juga tangki yang mengandungi lipas, bangkai tikus dah tahi kelawar yang bersepah. Ringkasnya memang sangat menggelikan. Semua saya bersihkan,” katanya.
Kebiasaannya sebelum mula mencuci tangki, Zahrul akan datang dan buat pemeriksaan agar pada hari pembersihan, dia akan membawa peralatan yang sesuai.
Sebelum memanjat siling rumah, dia akan memastikan lampu dipasang selain melapik papan-papan sebagai pemijak semasa mencuci tangki.
“Saya akan rakam keadaan di atas siling untuk rujukan tuan rumah. Operasi pembersihan lazimnya mengambil masa sekitar empat jam bergantung kepada keluasan tangki dan ‘pakej’ kekotoran.
“Tangki kediaman perlu sentiasa diperiksa, tetapi kalau kurang mahir, elakkan daripada melakukannya sendiri. Kita tak tahu di atas itu ada apa..kadang-kadang ada haiwan berbisa.
“Kalau boleh untuk tuan-tuan rumah jangan cuba untuk cuci sendiri kerana di atas siling terlalu banyak risikonya. Nasihat saya kepada semua penghuni rumah, keluarkan sedikit belanja dan serahkan kepada yang pakar,” jelasnya.