Upacara sambutan Deepavali di kuil kawasan PKPD tidak dibenar
Umavathi Ramayah
November 5, 2020 17:45 MYT
November 5, 2020 17:45 MYT
KUALA LUMPUR: Penganut Hindu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan melakukan upacara sembahyang di kuil pada Deepavali kali ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun semua penganut di tempat lain termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan hadir ke kuil pada hari pertama perayaan berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Katanya, antara syarat ditetapkan adalah hanya 30 orang dibenarkan hadir ke kuil pada satu-satu masa.
Walaupun begitu katanya, mereka yang berada di zon PKPB masih tidak dibenarkan merentas negeri termasuk balik kampung.
"Sidang khas hari ini bersetuju untuk membenarkan penganut Hindu mengikuti sesi upacara sembahyang pada hari pertama sahaja di kawasan-kawasan yang dilaksanakan PKPP dan PKPB dengan SOP ketat yang telah ditetapkan.
"Bagaimanapun, pergerakan merentas mukim, daerah, negeri daripada kawasan PKPB dan PKPP bagi tujuan balik kampung adalah tidak dibenarkan. Sama seperti sambutan Aidilfitri hari itu," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga menetapkan beberapa ketetapan termasuk sesi upacara sembahyang ditetapkan lima sesi bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
"Maksudnya setiap 30 minit dan diselangi dengan operasi sanitasi sebelum memulakan sesi baharu.
"Jadi sebagai contoh mulai pukul 7 pagi sehingga 7.30 pagi adalah waktu sembahyang kemudian pukul 7.30 hingga 8 pagi, adalah sesi sanitasi sebelum disambung," jelasnya.
SOP kuil di kawasan PKPB dan PKPP
- Menyediakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan dan saringan gejala berkaitan COVID-19 seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
- Upacara sembahyang hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP Pembukaan Rumah Ibadat yang telah dikeluarkan dan tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa tertakluk kepada keluasan ruang rumah ibadat (kuil) dengan penjarakan fizikal.
SOP kuil di kawasan PKPD
- Upacara sembahyang di rumah ibadat adalah tidak dibenarkan.
#Deepavali
#SOP ketat
#PKPP
#PKPB
#PKPD
#Majlis Keselamatan Negara
#COVID-19
#ismail sabri yaakob
#redzone