Upacara memperingati setahun tragedi MH17 berlangsung pagi ini
Mariah Ahmad
Julai 11, 2015 10:22 MYT
Julai 11, 2015 10:22 MYT
Satu upacara memperingati tragedi Penerbangan Malaysia, MH17 sempena ulang tahun pertama nahas itu dianjurkan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA pagi ini.
Upacara ini dijangka akan dihadiri kira-kira 1,000 tetamu jemputan, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri kabinet yang lain.
Pada jam seawal 8.30 pagi, kelihatan waris-waris penumpang pesawat Boeing 777-200 sudah pun tiba di sini untuk menyertai upacara ini.
Turut kelihatan, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
Astro AWANI (saluran 501) turut menyiarkan secara langsung upacara memperingati tragedi MH17 bermula 9.30 pagi ini. Juga di AstroAwani.com
Pesawat malang MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 43 rakyat Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di timur Ukraine setelah dipercayai ditembak jatuh di ruang udara negara yang bergolak itu pada 17 Julai tahun lepas.