Upacara keagamaan bertukar tragedi, dua mati lemas, satu hilang

Astro Awani
September 13, 2016 21:59 MYT
Dua daripada tiga mangsa yang ditemui mati lemas Sungai Bidor, Batu 6, berhampiran Ladang Sawit Gloster di Teluk Intan pada Selasa. - Foto Astro AWANI
Upacara keagamaan bagi 30 Orang Asli dari beberapa keluarga di Sungai Bidor, Batu 6, berhampiran Ladang Sawit Gloster di Teluk Intan pada Selasa bertukar tragedi apabila tiga kanak-kanak mati lemas.
Dua mangsa yang dikenali sebagal Sherrel Kulop, 11, dan Norzehan Long Asing, 13, ditemui mati lemas oleh anggota keluarga masing-masing tidak jauh dari lokasi kejadian.
Operasi mencari seorang lagi mangsa, Sheetel Kulop, 10, giat dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi Pertahanan Awam Malaysia.
Menurut seorang anggota keluarga Orang Asli, Jubri Long Ibrahim, 26, dia berjaya menarik kedua kanak-kanak yang lemas itu naik ke tebing sungai tetapi malangnya mereka sudah tidak bernyawa lagi.
“Kami terdengar jeritan meminta tolong, dan kami pun pergi bergegas untuk menolong tapi dapat tahu kemudiannya tiga orang sudah lemas,” ujarnya.
Menurutnya, dia telah menyelam ke dalam sungai untuk mengeluarkan dua mangsa namun tidak dapat menyelamatkankan nyawa mereka.
“Tengok pun dah tak boleh buat apa. Hanya dapat dua orang saja. Seorang lagi sampai sekarang masih dicari,” katanya.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat, Kamarulzaman Husin Onn berkata, pihaknya menggunakan kekuatan 16 orang termasuk pegawai kanan dan anggota bantuan lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mencari mangsa ketiga.
“Kawasan sungai tersebut mempunyai halangan kerana tebing dan curam yang cukup tinggi untuk menurunkan bot, selain pada pagi tadi paras airnya cetek. Pada sebelah petang, arus sungai telah naik.
“Kemudian kami terpaksa berhati-hati dalam operasi mencari kerana di dasar sungai terdapat banyak tunggul kayu yang menyukarkan pencarian,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad menasihatkan anggota keluarga Orang Asli yang berkumpul di kawasan berkenaan bagi upacara keagamaan supaya mengawasi anak-anak mereka agar tidak bermain atau mandi di kawasan sungai kerana risiko keselamatan.
“Dalam tempoh mereka berkampung di kawasan ini, awasilah anak-anak kecil yang mungkin tidak mahir berenang. Sungai ini mempunyai kedalaman yang boleh menyebabkan berlaku insiden lemas,” katanya.
#APM #dua kanak-kanak mati lemas #Orang Asli lemas #Sungai Bidor #upacara keagamaan Orang Asli
;