Upacara Hari Pahlawan kembali ke Tugu Negara
Bernama
November 10, 2024 18:37 MYT
November 10, 2024 18:37 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 300 orang berkumpul di Tugu Negara pagi Ahad meskipun hujan lebat untuk memperingati Hari Pahlawan, menandakan kembalinya acara itu ke monumen kebangsaan selepas dua tahun.
Antara yang hadir termasuk duta asing, Pesuruhjaya Tinggi dan Atase Pertahanan di Malaysia serta wakil-wakil dari Angkatan Tentera Malaysia, persatuan veteran, pertubuhan tempatan, dan pelajar sekolah.
Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British, David Wallace dalam ucapannya menegaskan bahawa Hari Pahlawan adalah saat untuk "berhenti sejenak dan menghormati perkhidmatan serta pengorbanan orang lain, bukannya memikirkan cabaran diri sendiri."
"Mereka semua berkongsi tema yang sama: kita yang masih hidup mempunyai tanggungjawab untuk mengingati mereka yang terdahulu dan pengorbanan mereka, memastikan kita tidak lupa. Satu kewajipan untuk tidak memandang ringan nikmat keamanan," katanya.
Wallace turut berkongsi bahawa dalam tempoh dua tahun lepas, beliau menghadiri upacara yang sama di Labuan, Batu Gajah, dan Taiping, tetapi meluahkan kegembiraannya dapat kembali ke Tugu Negara pada tahun ini.
Upacara berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan koir oleh pelajar sekolah dan bacaan petikan oleh pegawai Angkatan Tentera Malaysia serta rakan sejawatan mereka dari United Kingdom.
Semua yang hadir mengambil masa dua minit untuk bertafakur, sebagai penghormatan kepada wira yang terkorban.
Majlis berakhir dengan upacara tradisional meletakkan kalungan bunga, sebagai penghormatan kepada mereka yang berkorban demi keamanan.
Hari Pahlawan dahulunya dikenali sebagai Hari Peringatan atau Rememberance Day yang juga turut dikenali sebagai Poppy Day dan disambut di Negara-negara Komanwel semenjak berakhirnya Perang Dunia Pertama untuk memperingati para anggota angkatan bersenjata yang gugur ketika berkhidmat.
Ia diadakan pada Ahad kedua bulan November setiap tahun.
-- BERNAMA