Untung besar, mustahil Petronas tidak mampu bayar - Talib Zulpilip
Astro Awani
Mac 5, 2020 19:42 MYT
Mac 5, 2020 19:42 MYT
Tindakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak mematuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri Sarawak untuk membayar Cukai Jualan Negeri (SST) lima peratus secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada syarikat gergasi petroleum negara itu.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata, dengan keuntungan besar yang dicatat setiap tahun adalah mustahil Petronas tidak mampu membayar cukai berkenaan.
"Petronas harus atau wajib mematuhi undang-undang di mana saja mereka beroperasi.
"Mereka (Petronas) beroperasi bukan sahaja di Sarawak, bahkan hampir 30 buah negara di seluruh dunia," kata Talib.
Tambahnya lagi tidak seperti Petronas, syarikat petroleum asing lain patuh kepada undang-undang berkenaan.
"Syarikat-syarikat asing mematuhi undang-undang tersebut.
"Mereka sudah bayar mengapa pula syarikat negara kita sendiri syarikat kepunyaan negara tidak patuh?" persoal Talib dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di pejabatnya di Kuching.
Tahun lepas, kerajaan Sarawak telah memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuching susulan keengganannya membayar SST produk petroleum berjumlah RM1.3 billion sejak ia mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.
BACA: Sarawak saman Petronas
Petronas melalui peguamnya, Datuk Malik Imtiaz Sarwar bagaimanapun meminta penangguhan prosiding sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Permohonan Petronas itu bagaimanapun ditolak Mahkamah Tinggi Kuching.