Untuk kekal harmoni, usah biarkan penghasut menguasai kita - Najib

Bernama
Februari 25, 2014 06:57 MYT
Gambar Fail
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Rancangan Rekonsiliasi Nasional yang akan diumum dan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan lagi, akan membantu memberikan inspirasi kepada rakyat untuk saling hormat menghormati, dan kembali berhubung sesama mereka agar dapat menjadikan Malaysia negara yang lebih baik untuk semua.
Perdana menteri berkata rancangan itu bertujuan mencipta persekitaran yang kondusif dan menggalakkan rekonsiliasi nasional melalui perpaduan dan kosensus di seluruh negara.
Berkongsi sedikit mengenai rancangan itu dalam catatan blog beliau www.1malaysia.com.my, Najib berkata:
"Rancangan Rekonsiliasi Nasional ini berlandaskan prinsip hormat-menghormati, bekerja dan bergembira bersama, serta semangat bertolak-ansur. Ini seharusnya menjadi teras kepada apa juga yang kita lakukan."
Sebagai permulaan, katanya, kerajaan mahu rakyat untuk mula berkongsi cerita-cerita berkaitan sikap berbuat baik antara kaum dan ini termasuk dalam media arus perdana, media online dan media sosial.
"Sebagai contoh, berkongsi gambar seorang anggota polis bangsa Melayu yang sedang membantu seorang wanita tua bangsa Cina melintas jalan akan dapat memupuk semula apa yang kita memang tahu tapi semakin kita lupakan bahawa kita adalah sebahagian daripada sebuah keluarga Malaysia," kata Najib.
Najib menegaskan bahawa semua pihak juga tidak harus menggalakkan penyebaran laporan tentang tindakan-tindakan kumpulan atau organisasi pelampau yang berkecenderungan untuk menghancurkan kepercayaan antara kaum-kaum dalam negara.
"Anda tahu bahawa apa yang mereka lakukan atau katakan di laman-laman media sosial ternyata salah, jadi mengapa harus kita kongsi pendapat-pendapat sebegitu online. Jika kita mahu mengekalkan keharmonian dalam negara kita ini, jangan biarkan penghasut-penghasut ini menguasai kita.
"Lebih baik lagi, janganlah kita cepat menyebarkan insiden-insiden ini kerana ia sudah pasti akan menyebabkan ketakutan dan kebencian. Janganlah kita berikan pihak pelampau ini publisiti yang mereka idamkan," katanya.
Perdana menteri berkata sekiranya tiada pihak yang melaporkan tindakan-tindakan mereka, mereka tidak akan dapat perhatian yang mereka ingini dan mereka tidak akan dapat menarik orang lain kepada mereka.
"Mereka akan gagal. Namun, segalanya terpulang kepada kita. Kita tidak perlu mengutuk tindakan mereka, sebaliknya kita usah hiraukan saja. Usah berikan mereka sebarang publisiti," katanya.
Najib menarik perhatian bahawa Rekonsiliasi Nasional ini bukan hanya milik kerajaan semata-mata kerana era ini bukan lagi era kerajaan lebih mengetahui.
Konsep ini adalah milik rakyat, maka setiap rakyat Malaysia harus memainkan peranan sekiranya mahukan kedamaian dan keharmonian, katanya.
"Datuk nenek kita memahami semua ini dan mengamalkan budaya ini selama berdekad-dekad, namun kita pula nampaknya semakin melupakannya hari ini. Sekiranya anda mahukan sebuah negara yang lebih baik, sekiranya anda mahu kembalikan kepercayaan terhadap satu sama lain, maka ambillah langkah-langkah yang perlu untuk mencapainya.
"Sebaik saja anda bertindak, sebarang kata-kata atau sebarang permintaan yang tidak masuk akal daripada pihak pelampau ini tidak akan membawa sebarang makna, kerana anda tahu perasaan anda, perasaan jiran-jiran anda dan seterusnya perasaan majoriti rakyat Malaysia," kata perdana menteri.
Najib menekankan bahawa sekiranya semua bersatu sebagai rakyat Malaysia, pihak pelampau tidak akan ada daya tarikan, tidak kira siapa mereka dan apa yang mereka lakukan.
"Hancurkanlah mereka dengan kepercayaan terhadap diri sendiri dan terhadap rakan-rakan anda segenap lapisan masyarakat yang menjadi rakyat Malaysia," gesa Najib.
Beliau mengakui bahawa sejak beliau mengumumkan hasrat kerajaan ke arah rekonsiliasi nasional, beliau tersentuh dengan reaksi rakyat yang menyuarakan sokongan dan dorongan yang kukuh agar Malaysia lebih bersatu padu.
Perdana menteri berkata sudah pasti kebanyakan rakyat masih ingat, sebaik sahaja pilihan raya umum ke-13 menutup tirai, beliaulah orang pertama yang meluahkan hasrat ke arah rekonsiliasi nasional "tatkala orang lain hanya sibuk mempersoalkan kesahihan pilihan raya yang akhirnya terbukti tidak berasas".
"Hasrat saya ini bukanlah sekadar omongan kosong semata-mata. Setelah berbulan-bulan kita (kerajaan) merancang dengan teliti, kini kita sudah hampir bersedia untuk melaksanakan rancangan ini," katanya.
Beliau mengakui bahawa pihak pembangkang dan pelbagai organisasi telah memberikan pelbagai cadangan untuk menjayakan rancangan ini dan mengucapkan . terima kasih kepada semua yang telah memberikan input, yang akan dipertimbangkan.
"Rancangan Rekonsiliasi Nasional bakal memacu ke arah perpaduan nasional dalam negara ini dan saya menjemput setiap orang untuk terus memberikan sokongan terhadap inisiatif-inisiatif kerajaan," katanya.
#Najib Razak #perpaduan #Rancangan Rekonsiliasi Nasional