Untuk jadi negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu jadi negara berteknologi tinggi - PM

Isabelle Leong
Ogos 19, 2020 12:44 MYT
MUHYIDDIN: NTIS akan dapat menyokong dan mempercepatkan usaha kerajaan untuk membangunkan teknologi negara serta mengkomersialkan teknologi-teknologi tempatan oleh para penaiga dan usahawan negara ini. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Satu-satunya jalan bagi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi adalah dengan menjadi negara berteknologi tinggi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang berusaha mentransformasi negara daripada hanya sebagai pengguna teknologi kepada pencipta teknologi dan pembangun teknologi.
Katanya, National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) yang dilancarkan hari ini mampu membuka peluang untuk mentransformasi Malaysia kepada ekonomi yang didorong inovasi.
Ia juga berpotensi memupuk masyarakat yang aktif, berdaya tahan dan berdaya saing sementara menaikkan reputasi negara di serata dunia.
Muhyiddin mengingatkan rakyat supaya berani menghadapi risiko selain pantas menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta inovasi dalam mengatasi masalah yang melanda bukan sahaja negara kita bahkan seluruh dunia.
“Sejarah telah membuktikan betapa kekuatan militari dan ekonomi empayar serta kuasa besar dunia banyak bergantung kepada penguasaan teknologi.
“Bahkan jika dilihat kepada konteks negara kita, sekitar dua dekad selepas Perang Dunia Kedua, pendapatan KDNK per kapita kita jauh lebih tinggi dari Korea Selatan dan Taiwan namun kedudukan ini dicantas Taiwan hanya selang dua tahun selepas itu dan oleh Korea Selatan pula pada tahun 1977.
“Kejayaan mereka tidak lain dari pencapaian dan penguasaan teknologi,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran NTIS di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Cyberjaya.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Tambah Muhyiddin, apabila beliau mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Sains Negara bagi tahun 2020, kerajaan telah memperincikan mengenai dasar, cabaran serta memperkasakan hala tuju masa depan Sains, Teknologi, Inovasi dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berteknologi tinggi.
Katanya lagi, 30 bidang keutamaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi negara bagi 10 pemacu sosio-ekonomi negara telah dikenal pasti melalui MOSTI.
“Saya bersetuju bahawa NTIS akan dapat menyokong dan mempercepatkan usaha kerajaan untuk membangunkan teknologi negara serta mengkomersialkan teknologi-teknologi tempatan oleh para penaiga dan usahawan negara ini,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk NTIS, bagi membantu proses pendigitalan negara.
NTIS diterajui oleh MOSTI dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) sebagai sekretariat utama dibantu oleh Technology Park Malaysia (TPM), MIMOS Bhd, MTDC dan Futurise Sdn. Bhd.
#Azmin Ali #ekonomi #KDNK #kerajaan #Khairy Jamaluddin #Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri #Muhyiddin Yassin #Mustapa Mohamed #negara berpendapatan tinggi #NTIS #pembangun #pencipta #pengguna #PENJANA #rakyat #Sandbox #teknologi #usahawan
;