Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal pada 4-5 peratus tahun ini - Ahmad Maslan
Bernama
Oktober 3, 2023 15:26 MYT
Oktober 3, 2023 15:26 MYT
KUALA LUMPUR: Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus dikekalkan pada kadar empat hingga lima peratus pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bank Dunia semalam berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana kepada 3.9 peratus pada 2023 daripada unjuran 4.3 peratus pada April tahun ini di tengah-tengah penyusutan permintaan luar.
"Kementerian Kewangan belum membuat perubahan dalam jangkaan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.
"Namun, kami menghargai dan menghormati kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia.
"Analisis mereka adalah bergantung kepada mereka dan kami menghormati analisis mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kesihatan Makro Usahawan Malaysia-China (MCEH 2023) di sini hari ini.
Ahmad berkata wakil Bank Dunia yang mengeluarkan analisa itu menemui beliau dua kali pada beberapa bulan lepas di pejabatnya bagi membincangkan beberapa perkara.
-- BERNAMA