Unjuran naik taraf Fitch perjelas salah tanggapan pelabur - Mustapa
Bernama
Julai 3, 2015 08:14 MYT
Julai 3, 2015 08:14 MYT
Keputusan Fitch Ratings untuk menaik taraf prospek Malaysia kepada 'stabil' daripada 'negatif' akan membantu memperjelas salah tanggapan dalam kalangan pelabur selain berupaya mempertingkat daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata naik taraf itu menyusuli beberapa laporan lain oleh badan antarabangsa bebas termasuk Bank Dunia dan Forum Ekonomi Dunia yang menyaksikan Malaysia terus mencatat prestasi baik sebagai tempat pilihan untuk menjalankan perniagaan.
"Pelabur peka akan laporan yang berwibawa dan berpengaruh ini.
"Penarafan terbaharu Fitch berkemungkinan memberi rangsangan tambahan kepada usaha kita dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dan bernilai tambah tinggi yang amat penting ke arah mencapai matlamat kita menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.
Mustapa berkata keputusan Fitch adalah relevan terutama pada masa ketidaktentuan ekonomi global dan pergolakan berterusan dalam geopolitik.
Bagaimanapun katanya, sebelum semakan semula penarafan itu Malaysia sudahpun mencatat pertumbuhan dua angka dalam pelaburan direalisasi.
"Pelaburan asing pada 2013 bertumbuh 13.1 peratus dan 11 peratus dari 2013 hingga 2014," katanya.
Beliau berkata kementerian berusaha mengekalkan momentum dua tahun lalu walaupun persekitaran ekonomi dan politik dunia akan memberi cabaran tambahan tahun ini.
"Semua pelaburan, yang diluluskan dan dilaksanakan serta yang telah dilulus namun sedang menunggu pelaksanaan, adalah bermakna peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia," katanya.
Bagi suku pertama tahun ini, pelaburan yang diluluskan bernilai RM57.4 bilion.
Mustapa berkata keputusan Fitch untuk menaik taraf prospek Malaysia juga merupakan pengesahan kukuh akan asas-asas ekonomi negara dan pengurusan ekonomi oleh kerajaan.
"Ini juga mengesahkan dasar berhemat, proaktif dan pragmatik kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi untuk menstruktur semula dan mempelbagai ekonomi," katanya.
Bagaimanapun katanya, keputusan Fitch dan laporan positif oleh entiti antarabangsa lain itu tidak harus menimbulkan rasa puas hati memandangkan daya saing dunia yang semakin meningkat.
"Yang patut berlaku adalah sebaliknya. Ia patut memacu kita memperbaiki kekurangan dan mempertingkat usaha mempromosi Malaysia sebagai tempat pilihan untuk menjalankan perniagaan," katanya.