Universiti Xiamen bakal bertapak di Malaysia
Bernama
Februari 5, 2013 07:17 MYT
Februari 5, 2013 07:17 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Jia Qinglin, pengerusi Jawatankuasa Nasional Persidangan Perundingan Politik Rakyat China, menyaksikan upacara menandatangani Memorandum
Persetujuan (MoA) di sini mengenai pembangunan kampus cawangan seberang laut pertama universiti utama di China, Universiti Xiamen malam tadi.
Universiti Xiamen diwakili oleh Presidennya Zhu Chongshi sementara pihak Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Sun Suria Development Sdn Bhd, Datuk Ter Leong Yap di upacara itu di Sri Perdana.
Sebaik tiba di Sri Perdana sekitar 8.25 malam, Jia Qingling mengadakan perbincangan dengan Najib selama kira-kira 40 minit, sebelum mereka menyaksikan upacara menandatangani MoA.
Pada 21 Januari, Najib mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan pada prinsipnya penubuhan kampus cawangan seberang laut pertama universiti berkenaan di kawasan seluas 60.72 hektar di Salak Tinggi, dekat sini.
Kampus itu dijangka beroperasi pada September 2015. Penubuhannya begitu bersejarah kerana ini kali pertama kerajaan China membenarkan sebuah universitinya menubuhkan kampus cawangan di seberang laut.
Kos pembinaan kampus itu dianggarkan kira-kira RM600 juta, RM400 juta daripadanya akan dibelanjakan pada fasa pertama penubuhannya.
Turut hadir di upacara itu ialah Wakil Khas Perdana Menteri ke China dan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China Tan Sri Ong Ka Ting, dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Najib dan Jia kemudian menghadiri jamuan malam yang turut disertai isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Jia, yang tiba Selasa, kini dalam rangka lawatan selama empat hari ke Malaysia.
Sebelum itu, beliau dan Najib merasmikan upacara pecah tanah bagi tapak Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), di Gebeng, Kuantan.