Universiti tempatan dijangka baiki kedudukan di peringkat dunia

Bernama
Ogos 27, 2016 16:56 MYT
Sebahagian wakil pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dari seluruh negara yang mengikuti Persidangan Parlimen Mahasiswa bergambar kenangan bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) baru-baru ini. - Gambar Bernama
Universiti tempatan dijangka mampu memperbaiki kedudukan dalam kalangan terbaik dunia apabila keputusan QS World University Ranking diumumkan 14 Sept ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian sentiasa positif dan yakin dengan beberapa hasil kajian serta usaha yang konsisten pihak terbabit sebelum ini.
"Menerusi galakan mengadakan kajian dilakukan kementerian kepada universiti yang menghasilkan banyak kejayaan, saya percaya beberapa universiti akan memperbaiki kedudukan di peringkat dunia tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Meraikan Mahasiswa dan Mahasiswi Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, di sini, malam Jumaat.
Katanya lima universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang banyak menghasilkan kajian baharu, dijangka memperbaiki kedudukan dalam kalangan 500 universiti terbaik dunia.
Dalam kajian dikeluarkan QS World Ranking University 2015/2016, beberapa universiti tempatan secara konsisten mencatat keputusan memberangsangkan seperti UM di kedudukan ke-146, USM (289) dan UPM (331).
Pada majlis itu, Idris yang juga Anggota Parlimen Besut, turut menyampaikan bantuan kerajaan negeri kepada 183 bakal mahasiswa dan mahasiswi dari Besut yang akan memulakan pengajian September ini, dengan setiap seorang menerima RM1,000.
#Idris Jusoh #Menteri Pendidikan Tinggi #QS World Ranking University
;