Universiti perlu tingkat kualiti pengajaran, pembelajaran - Tengku Permaisuri Selangor

Bernama
Mei 20, 2023 15:14 MYT
Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan bertitah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-96 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam hari ini. -Bernama
SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mahu agar kualiti pengajaran dan pembelajaran di universiti dipertingkatkan dalam memastikan kakitangan serta pelajar mempunyai kepakaran yang cukup dan akses kepada sumber pembelajaran terkini.
Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah peningkatan kualiti tersebut bertujuan untuk memastikan pelajar khususnya, diberikan sokongan untuk memahami kandungan pengajaran dengan baik.
"Universiti juga perlu melaksanakan program persediaan agar pelajar dapat bersaing di peringkat global, antaranya program persediaan yang mencakupi aspek bahasa, kebudayaan dan kepakaran teknikal," titah baginda pada hari pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-96 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam di sini, hari ini.
Tengku Permaisuri Norashikin bertitah dengan lambakan maklumat yang ada pada hari ini dari pelbagai saluran media, kemampuan dan kemahiran menganalisis data dengan menggunakan aplikasi serta sebarang tindakan dalam membuat keputusan malah menyelesaikan masalah, merupakan 'sharp skills' yang perlu dikuasai warga universiti.
"Sehubungan itu, universiti perlu menyediakan infrastruktur pembelajaran moden dan berteknologi tinggi untuk membolehkan universiti melatih serta mendidik warganya supaya menjadi lebih kompetitif di peringkat global," titah baginda.
Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah bahawa kurikulum UiTM harus digubal selaras dengan keadaan serta permintaan semasa dan ia perlu datang daripada pemegang taruh dalam konteks bagi meningkatkan ketampakan modal insan negara.
"UiTM harus menyediakan kursus-kursus bertaraf antarabangsa dan mendapat pengiktirafan di peringkat global agar mampu menyelesaikan isu dalam pelbagai perspektif.
"Secara keseluruhan, program pengajian UiTM yang mendapat akreditasi penuh dan disenaraikan di daftar kelayakan Malaysia hingga Disember 2022 meningkat kepada 522 program. Program-program berkualiti amat penting dalam memastikan peningkatan kemahiran bumiputera profesional di negara ini," titah baginda.
Seramai 24,713 keseluruhan graduan menerima penganugerahan ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil profesional dalam bidang masing-masing di DATC dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-96 yang berlangsung selama 15 hari bermula hari ini sehingga 3 Jun depan.
-- BERNAMA
#Tengku Permaisuri Norashikin #Tengku Permaisuri Selangor #Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara #UiTM
;