Universiti perlu tingkat keupayaan digitalisasi selari IR 4.0 - Masrizal

Astro Awani
September 8, 2021 19:21 MYT
Ahmad Masrizal membuat lawatan rasmi ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak menyandang jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada 27 Ogos baru-baru ini. - Foto KPT
KUALA LUMPUR: Pihak universiti perlu meningkatkan keupayaan digitalisasi di dalam kampus selari dengan era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang menekankan elemen-elemen Internet Kebendaaan (IOT), Sistem Physic Cyber (CPS) dan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Ahmad Masrizal Muhammad berkata, keupayaan digitalisasi dalam ekosistem pendidikan tinggi negara akan menjadi satu wadah utama pada tahun-tahun mendatang.
"Maka, intervensi-intervensi akademik perlu dilakukan oleh setiap universiti di negara ini tidak kira di IPTA ataupun di IPTS agar ianya selari dengan keperluan IR 4.0.
"Saya menaruh keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan pihak pengurusan universiti untuk memastikan agenda ini dapat dijayakan dengan sebaiknya. Ini waktunya untuk berfikir secara kreatif dan melaksanakan perubahan besar.
"Jika kita bersatu untuk menjayakan objektif ini, negara bukan hanya akan pulih daripada pandemik ini sebaliknya melakukan lonjakan digital untuk generasi masa depan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, beliau membuat lawatan rasmi ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak menyandang jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada 27 Ogos baru-baru ini.
Kunjungan beliau bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Rosli Yaakub dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Husaini Omar disambut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman bersama pengurusan tertinggi UKM yang lain.
Dalam pada itu jelas Masrizal, kepentingan pendidikan digital dalam arus Revolusi Industri 4.0 membantu meningkatkan daya persediaan melalui pendedahan realiti dan praktikal kepada bakal pemimpin masa hadapan negara dalam pelbagai sudut sektor dan industri.
Ujarnya, KPT juga akan mendokong penuh semua usaha berkenaan.
"KPT di bawah kepimpinan Datuk Seri Noraini Ahmad amat mengambil berat akan perihal peri pentingnya universiti meningkatkan usaha untuk memberi fokus kepada kemenjadian graduan. Bagi beliau elemen berkenaan adalah satu pra syarat penting yang akan mampu membentuk sebuah negara bangsa yang mempunyai karakter hebat setanding dengan karakter bangsa-bangsa lain di dunia," katanya.
Sementara itu, Mohd Ekhwan turut merakamkan penghargaan atas saranan dan keprihatinan Ahmad Masrizal dalam memastikan UKM terus mendepani cabaran pendidikan tinggi di era pandemik dan terus berperanan sebagai universiti watan yang memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan masyarakat serta negara.
#Ahmad Masrizal Muhammad #revolusi industri #Menteri Pengajian Tinggi #digitalisasi
;