Universiti Malaysia Pahang hasilkan kit antihisteria
Bernama
Mei 1, 2015 09:26 MYT
Mei 1, 2015 09:26 MYT
Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan kit antihisteria melalui kajian yang diketuai Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMP, Dr Mahyuddin Ismail.
Naib Canselor UMP, Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata kit berkenaan dibangunkan berdasarkan kajian ilmiah mengenai histeria dan kerasukan sejak 2012.
"Kit antihisteria ini dibangunkan sebagai satu produk yang mempunyai potensi besar untuk dipasarkan memandangkan statusnya yang patuh syariah serta bebas dari sebarang perkara yang berbentuk metafizik, tahyul atau khurafat yang boleh menyesatkan," katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran kit itu di Kementerian Pendidikan di sini hari ini yang disempurnakan Pengarah Bahagian Education Malaysia, Raihanah Khudri yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Asma Ismail.
Mahyuddin berkata kit berkenaan telah diuji dengan berjaya di 11 buah institusi pengajian dan jabatan kerajaan yang mengalami gangguan histeria dan kerasukan tahun lepas.
Kit tersebut antara lain mengandungi 'ammonia inhalants' untuk membantu mangsa histeria sedarkan diri dan semburan asid formik bagi menghapuskan makhluk halus.