Universiti disaran contohi usaha UiTM tingkat kemudahan OKU

Bernama
Jun 10, 2024 05:15 MYT
Mustapha berkata pelaksanaan prosedur R2U juga dapat mengurangkan kos perubatan atau pampasan berkaitan pekerjaan dan pembelajaran di sektor pendidikan tinggi. - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Pengurusan universiti awam (UA) dan universiti swasta disaran meningkatkan pengurusan dan kemudahan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di institusi masing-masing sebagai antara inisiatif membuka peluang pendidikan lebih luas kepada golongan itu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata semua institusi pengajian tinggi perlu prihatin dengan keperluan golongan OKU dan boleh menjadikan prosedur Kembali Ke Universiti (R2U) yang dilaksanakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai contoh dalam mewujudkan ekosistem inklusif kepada OKU.
Beliau berkata melalui prosedur R2U, UiTM telah menetapkan standard baharu dalam pengurusan hilang upaya di mana R2U menyediakan persekitaran pengajaran, pembelajaran dan pekerjaan yang selamat kepada semua warga untuk kembali ke universiti setelah pulih atau stabil daripada kecederaan atau penyakit.
"Prosedur R2U UiTM bertepatan dengan Landasan ke-20 dalam Hala Tuju KPT 2024 yang menekankan agar sektor pendidikan tinggi negara perlu inklusif dan terbuka kepada semua termasuk OKU yang merangkumi mahasiswa, pensyarah dan juga kakitangan universiti.
"Inisiatif itu juga selaras dengan enam Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan," katanya ketika berucap pada pelancaran prosedur R2U dan Majlis Apresiasi Pensijilan Pengurusan Profesional Orang Kurang Upaya (OKU) di sini pada Isnin.
Mustapha berkata pelaksanaan prosedur R2U juga dapat mengurangkan kos perubatan atau pampasan berkaitan pekerjaan dan pembelajaran di sektor pendidikan tinggi dan dalam masa sama boleh mengurangkan kehilangan bakat mereka yang masih mampu berkhidmat.
Pada majlis itu turut berlangsung penyerahan sijil Malaysia Book of Record (MBOR) kepada UiTM sebagai mengiktiraf inisiatif universiti itu menyalin 250 buah buku berbentuk digital ke dalam bentuk braille.
Mustapha berkata ia satu usaha dan pencapaian yang baik kerana inisiatif itu akan membolehkan lebih ramai mahasiswa dan warga kerja UiTM dalam kalangan OKU mendapat akses kepada gedung ilmu.
Pengiktirafan itu membuktikan pembangunan digitalisasi di UiTM tidak meminggirkan golongan OKU sebagaimana dihasratkan kerajaan, katanya.
-- BERNAMA
#OKU #universiti awam #mbor #UiTM
;