Universiti awam diingatkan tidak naikkan yuran - Ahmad Zahid
Norsiah Mohd Ramli
Disember 6, 2015 19:30 MYT
Disember 6, 2015 19:30 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan universiti awam supaya tidak menaikkan yuran pengajian bagi mahasiswa prasiswazah, meskipun peruntukan pendidikan tinggi berkurangan dalam bajet 2016.
Beliau berkata, pengurangan peruntukan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh universiti untuk menaikkan yuran pengajian.
Katanya, ini merupakan cabaran bagi pihak universiti untuk menghadapinya dengan sebaik mungkin.
"Saya yakin semua IPTA akan mampu menyerap keadaan ini dan melihat elemen ini sebagai satu cabaran baru dunia pendidikan tinggi negara," katanya dalam ucapan yang dibacakan Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Masrizal Muhammad pada majlis perasmian Persidangan Mahasiswa Nasional (PEMANAS 3.0), di PWTC, hari ini.
"Sesungguhnya, inilah masanya universiti awam melipatgandakan usaha bagi membantu menampung perbelanjaan universiti," jelasnya.
Tambahnya, faktor ini tidak akan menjadi penghalang kepada kemajuan dan pembangunan di universiti, malah pengurangan peruntukan ini mampu menonjolkan sifat berdaya tahan sesebuah universiti awam dalam mengharungi cabaran ekonomi semasa.
Beliau juga memaklumkan, sejak dua tahun lepas lagi, Kementerian Pengajian Tinggi telah diberi mendat untuk mencari 30 peratus sumber kewangan sendiri.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Awam supaya membuang persepsi buruk yang sengaja ditanam oleh pihak tertentu untuk memomokkan kerajaan dengan pelbagai tanggapan negatif.
Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh ada mengatakan, sejumlah RM2.4 bilion dikurangkan bagi sektor pendididikan tinggi dalam bajet 2016.