Unit udara JBPM melakukan 10 penerbangan bantu mangsa banjir

Vivi Sumanti
Januari 8, 2021 16:12 MYT
Penerbangan menghantar bantuan makanan dan keperluan bermula pada tarikh 3, 5 dan 7 Januari dengan pesawat AW139. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan 10 penerbangan sepanjang banjir yang melanda membabitkan Johor dan Pahang.
Pengarah Unit Udara JBPM, Nazili Mahmood berkata, sebanyak tiga penerbangan evakuasi perubatan di Johor dan Pahang dalam tempoh tiga hari sewaktu banjir melanda.
Manakala bagi penerbangan menghantar bantuan keperluan dan makanan ke Pahang dan Johor melibat tiga penerbangan, iaitu dua penerbangan di Pahang dan satu di Johor.
"Penerbangan menghantar bantuan makanan dan keperluan bermula pada tarikh 3, 5 dan 7 Januari dengan pesawat AW139," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Menurut Nazili lagi, sepanjang tempoh tersebut, sejumlah 8,640 kilogram makanan dan keperluan di hantar ke Johor dan juga Pahang.
"Bagi penerbangan pemantauan udara, ia membabitkan empat penerbangan," katanya.
Dianggarkan lebih RM388,000 yang ditanggung kerajaan untuk melaksanakan misi penerbangan terbabit.
Nazili menjelaskan, menjadi tanggungjawab pihak JBPM menggalas tugas menyelamat dan membantu orang ramai yang memerlukan khidmat unit udara JBPM walaupun kadangkala berdepan cuaca buruk dan berisiko dalam melakukan penerbangan di waktu hujan.
JBPM mempunyai 10 buah helikopter - dengan dua buah dari jenis AW109, dua buah AW139, dua buah AW189 dan empat buah jenis MI.17.
#banjir kelantan #JBPM #Nazili Mahmood #evakuasi perubatan #Johor #Pahang #bantuan unit udara
;