Unit Udara JBPM bantu agih bantuan makanan, ambil pesakit
Fauzi Suhaimi
Januari 5, 2021 18:33 MYT
Januari 5, 2021 18:33 MYT
KUALA LIPIS: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan operasi mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada mangsa banjir yang terjejas.
Komander Pesawat AW189 Unit Udara pasukan itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Khirulnizam Jamaluddin berkata, selain itu, operasi melibatkan usaha membawa keluar mangsa yang mengalami masalah kesihatan turut digerakkan.
Katanya, operasi itu dilakukan mengikut keperluan mengambil kira lokasi yang sukar diakses kenderaan lain serta keadaan banjir yang berisiko.
“Selain operasi pemantauan udara dilakukan bagi meninjau keadaan semasa banjir, kita turut lakukan operasi lain seperti menghantar makanan dan mengeluarkan mangsa atas faktor kesihatan tertentu.
“Bagaimanapun ia dibuat berdasarkan keperluan semasa, namun fokus hari ini adalah pemantauan udara di sepanjang persisir Sungai Pahang membabitkan kawasan Jerantut, Kuala Lipis dan Maran,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Khirulnizam berkata, setiap operasi pemindahan mangsa banjir akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan COVID-19.
“Semua SOP tersebut akan diamalkan kerana bukan sahaja kita mahu masyarakat bebas daripada COVID-19, malah untuk mengelakkan anggota dijangkiti virus berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, operasi tinjauan udara pada Selasa akan diteruskan dengan meninjau keadaan semasa banjir yang di kawasan persisir Sungai Pahang.
“Antara kawasan yang terlibat termasuk Raub, Kuala Lipis, Jerantut dan Pekan,” jelasnya.
#banjir
#bomba
#unit udara
#agih makanan
#bantuan
#bawa keluar mangsa
#masalah kesihatan
#tinjauan udara
#banjir pahang
#JBPM