Unit Udara Bomba hantar 25 tan bekalan makanan kepada Orang Asli

Bernama
Januari 26, 2023 16:48 MYT
Unit Udara JBPM menggunakan tiga pesawat untuk melaksanakan penugasan itu yang juga operasi terpanjang dan memakan masa hingga tujuh hari untuk dilaksanakan ekoran cabaran cuaca yang tidak menentu. - Gambar/ Bernama
GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menamatkan penugasan penghantaran 25 tan bekalan makanan ke 13 perkampungan dan Pos Orang Asli di sekitar jajahan ini yang bermula Jumaat lepas.
Unit Udara JBPM menggunakan tiga pesawat untuk melaksanakan penugasan itu yang juga operasi terpanjang dan memakan masa hingga tujuh hari untuk dilaksanakan ekoran cabaran cuaca yang tidak menentu.
Detasmen Komander Operasi Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor Penguasa Kanan Bomba II Wahyudi Mohd Sayuhti berkata operasi itu dijadualkan bermula Jumaat lepas (20 Jan), namun hanya dapat dilaksanakan pada Isnin.
"Alhamdulillah operasi membabitkan 28 penerbangan menghantar makanan ke kawasan pedalaman Orang Asli yang terputus hubungan kerana jalan rosak dan yang terkesan dengan Monsun Timur Laut (MLT) berakhir hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wahyudi berkata penugasan penghantaran bekalan hanya dapat dimulakan pada hari keempat setelah ketibaan mereka dari Pangkalan Wilayah Tengah Subang.
"Sepanjang operasi selama empat hari itu sebanyak 25 jam penerbangan dilakukan dengan tiga pesawat iaitu Agusta 109 E (A109E), Agusta Westland 189 (AW189) dan Mi-17-IV.
"Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh anak kapal ialah kedudukan awan yang rendah dan jarak penglihatan yang pendek," katanya.
Wahyudi berkata penerbangan terakhir diteruskan hari ini dengan pesawat A109E yang membawa 25 beg makanan ke Kampung Lalok, Pos Bihai.
"Operasi ke lokasi terakhir terpaksa dihentikan kira-kira 3 petang semalam ekoran cuaca mula hujan di kawasan pedalaman dan diteruskan pagi ini," katanya.
Beliau berkata kesemua 22 anak kapal bergerak pulang ke Pangkalan Wilayah Tengah Subang sebaik sahaja penugasan tamat.
-- BERNAMA
#JBPM #Orang Asli #hantaran bekalan makanan #Gua Musang
;