Unit pangsapuri Desa Mentari terbakar 80 peratus, 4 sekeluarga nyaris maut
Sinar Harian
Mei 8, 2022 05:40 MYT
Mei 8, 2022 05:40 MYT
PETALING JAYA: Sebuah keluarga warga Indonesia sempat menyelamatkan diri daripada kebakaran yang berlaku di rumah flat di tingkat enam Blok 2, Desa Mentari, di sini pada pagi Ahad.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 14 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala, dan Subang Jaya tiba di lokasi kejadian pada jam 10.19 pagi untuk mulakan operasi pemadaman api.
Unit rumah tersebut terbakar sekitar 80 peratus, namun mangsa sempat dikeluarkan ketika api masih marak.
"Kebakaran berpunca dari sebuah bilik dalam rumah tersebut yang mengakibatkan sekitar 80 peratus unit tersebut musnah.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.26 pagi dan penghuni rumah ketika itu iaitu seorang wanita bersama ibu dan dua orang anak berjaya dikeluarkan sebelum api marak," katanya dalam satu laporan pada Ahad.
*Berita asal di Sinar Harian